Jumaat, 26 April 2024 | 12:43pm
Anggota pasukan penyiasat dan forensik mengumpul bukti di salah satu lokasi. - Foto Polis Thailand
Anggota pasukan penyiasat dan forensik mengumpul bukti di salah satu lokasi. - Foto Polis Thailand

Kes bunuh, kerat mayat, Polis Thailand buru 2 suspek Jepun

BANGKOK: Polis Thailand melancarkan gerakan memburu dua suspek warga Jepun yang dipercayai terbabit dalam kes membunuh dan mengerat mayat rakan senegara mereka.

Polis kini bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk mendapatkan waran Interpol bagi penahanan dua suspek warga Jepun itu, dikenali sebagai Suzuki Hiroto, 33, dan Kato Takuya, 50.

Penyiasat mengesyaki pembunuhan itu berpunca daripada perjanjian antara kumpulan jenayah terancang Jepun yang dikenali sebagai yakuza.

Pada 19 April lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menemui lengan mangsa yang terputus dan mayat disumbat ke dalam beg plastik hitam sebelum dibuang di Soi Sawang 2 di Bang Bua Thong, Nonthaburi.

Pencarian di kawasan itu mendedahkan beberapa penemuan ngeri yang dianggap ada kaitan dengan pembunuhan itu.

Gambar suspek, saksi dan mangsa kes bunuh. - Foto Polis Thailand
Gambar suspek, saksi dan mangsa kes bunuh. - Foto Polis Thailand

Pada 21 April lalu, penyiasat menemui kapak dan gergaji yang dibuang kira-kira dua kilometer dari badan yang dikerat.

Kemudian pada 23 April lalu, serpihan tengkorak dan sendi kecil ditemui di lorong berhampiran kawasan penemuan awal.

Semua bahagian badan dihantar untuk analisis forensik bagi mengesahkan ia milik orang yang sama, seorang lelaki Jepun berusia 47 tahun iaitu Kabashima Ryosuke, lapor Bangkok Post.

Polis berkata seorang suspek warga Thailand yang ditahan pada 23 April lalu, mengaku memandu tiga lelaki Jepun ke sebuah gudang di pinggir Bangkok.

Suspek berusia 34 tahun itu, Kritsakorn Jaiphitak, juga dikenali sebagai Bom, memberitahu polis bahawa pertengkaran sengit berlaku antara lelaki di tempat duduk penumpang hadapan dan dua penumpang di tempat duduk belakang.

Saksi kes bunuh di bawa ke lokasi kejadian. - Foto Polis Thailand
Saksi kes bunuh di bawa ke lokasi kejadian. - Foto Polis Thailand

Sebaik kenderaan itu tiba di kilang, seorang penumpang tempat duduk belakang mengarahkan Bom meletak kenderaan dan memintanya keluar dari kereta.

Selepas melangkah keluar untuk menghisap rokok, Bom terdengar bunyi tembakan dari dalam kereta dan mendapati penumpang tempat duduk hadapan maut dengan kesan tembakan di kepala.

Beliau berkata dua lagi lelaki Jepun itu membawa mayat berkenaan ke dalam gudang dan kembali dengan beberapa beg plastik hitam yang kelihatan berat.

Mereka kemudian mengarahkannya untuk memandu ke lokasi berbeza, di mana mereka membuang beg berkenaan.

Polis mengiringi Bom ke kilang berkenaan untuk mencari bukti lanjut dan penyiasat mendakwanya dengan tuduhan bersekongkol untuk menyembunyikan serta memusnahkan mayat. - AGENSI

Berita Harian X