Rabu, 24 April 2024 | 3:07pm
Seorang anggota tentera Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA), menaikkan bendera kumpulan itu selepas membakar bendera Myanmar di pangkalan tentera di perkampungan Thingyan Nyi Naung, pinggir Myawaddy, sempadan Myanmar- Thailand. - Foto REUTERS
Seorang anggota tentera Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA), menaikkan bendera kumpulan itu selepas membakar bendera Myanmar di pangkalan tentera di perkampungan Thingyan Nyi Naung, pinggir Myawaddy, sempadan Myanmar- Thailand. - Foto REUTERS

Tentera pemberontak Myanmar undur dari sempadan Thailand

YANGON: Kumpulan pemberontak Myanmar berundur dari sepanjang sempadan Thailand dan bandar perdagangan utama, Myawaddy, yang ditawan bulan ini, selepas serangan balas tentera Myanmar, kata seorang pegawai hari ini.

Menurut jurucakap Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), Saw Taw Nee, 'pengunduran sementara' dari bandar Myawaddy dibuat selepas askar junta kembali ke kawasan strategik penting yang juga hab perdagangan asing tahunan, bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.7 bilion).

"Tentera KNLA akan... memusnahkan tentera junta dan tentera sandaran mereka yang menuju ke Myawaddy," katanya merujuk kepada sayap bersenjata kumpulan itu, Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA), juga antara pasukan pejuang etnik tertua di Myanmar.

Beliau tidak memberikan perincian mengenai perancangan berkaitan langkah seterusnya.

Pertempuran berlaku seawal Sabtu lalu di Myawaddy, memaksa 3,000 orang awam melarikan diri dalam masa sehari ketika pemberontak berjuang untuk mengusir tentera kerajaan Myanmar yang terkandas dan bersembunyi di lintasan sempadan jambatan.

Thailand hari ini berkata, pertempuran telah reda dan berharap untuk membuka semula lintasan sempadan susulan perdagangannya yang terjejas. Katanya, kebanyakan orang awam telah kembali dan 650 penduduk masih kekal di situ.

Keadaan nampaknya bertambah baik," kata seorang jurucakap, Nikorndej Balankura, dalam satu taklimat.

"Bagaimanapun, kami memantau dengan teliti keadaan yang sangat tidak menentu dan boleh berubah," katanya.

Junta tidak berhasil memperkukuh kuasanya ke atas beberapa kawasan sempadan utama berikutan serangan oleh kumpulan pemberontak.

Foto yang disiarkan di beberapa kumpulan media sosial pro-junta menunjukkan segelintir tentera menaikkan bendera Myanmar di pangkalan tentera, yang beberapa hari lalu dikuasai KNU, di mana kumpulan pemberontak bertindak menaikkan benderanya sendiri.

Menurut Nikorndej, berdasarkan laporan yang diterima Thailand, rundingan mungkin dimulakan antara tentera yang saling bersaing di pihak Myanmar, namun beliau tidak mendedahkan perinciannya.

Tambah beliau, Thailand mencadangkan kepada Laos, pengerusi ASEAN kali ini, bahawa ia boleh menjadi tuan rumah mesyuarat bagi menamatkan krisis Myanmar, yang turut dihadiri pengerusi kumpulan itu sebelumnya dan akan datang, iaitu Indonesia dan Malaysia.

Menurut jurucakap KNU, junta yang melancarkan serangan balas untuk merebut semula Myawaddy memasuki kawasan itu dengan bantuan militia serantau yang telah berundur susulan KNU mengepung bandar itu, awal April lalu.

Setakat ini, pihak junta dan kumpulan militia, Tentera Kebangsaan Karen, belum memberikan maklum balas mengenai isu itu. -REUTERS

Berita Harian X