Isnin, 22 April 2024 | 7:11pm
Gunung berapi Gunung Ruang meletus di Sitaro, Sulawesi Utara, pada 19 April. - Foto AFP
Gunung berapi Gunung Ruang meletus di Sitaro, Sulawesi Utara, pada 19 April. - Foto AFP

Indonesia turunkan paras amaran gunung berapi Ruang, buka semula operasi lapangan terbang

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia hari ini menurunkan tahap amaran gunung berapi di kawasan letusan Gunung Ruang, manakala lapangan terbang antarabangsa yang berhampiran dengan lokasi berkenaan dibenar untuk beroperasi semula selepas ditutup selama beberapa hari.

Sebelum ini pihak berkuasa Indonesia telah memberi amaran terhadap ancaman keselamatan gunung berapi Ruang mengeluarkan letupan lava, batu dan abu pada minggu lalu yang memaksa pemindahan ribuan penduduk di sekitar gunung terbabit.

Selepas beberapa hari, aktiviti gunung berapi berkenaan kembali tenang dan agensi gunung berapi negara itu menurunkan tahap berjaga-jaga kepada kedua tertinggi sistem empat peringkat pada hari ini.

Menurut Ketua Agensi Volkanologi Indonesia, Hendra Gunawan, berdasarkan hasil pemantauan visual dan sistem terhadap aktiviti gunung berapi berkenaan yang semakin menurun, pihaknya telah menurunkan tahap keselamatan daripada tahap empat kepada tahap tiga.

Agensi berkenaan juga telah mengecilkan zon pengecualian daripada enam kepada empat kilometer atau 3.5 hingga 2.5 batu nautika daripada kawasan letusan gunung berapi berkenaan.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di ibu kota wilayah Manado iaitu lebih 100 kilometer dari Gunung Ruang telah dibuka semula pada petang ini.

Pembukaan lapangan terbang berkenaan dilakukan selepas beberapa hari ditutup, manakala beberapa syarikat penerbangan dari Singapura, Korea Selatan dan China terpaksa membatalkan penerbangan mereka akibat abu gunung berapi yang tersebar luas di ruang udara.

Lebih 6,000 keluarga di Pulau Tagulandang yang berhampiran dengan gunung berapi berkenaan yang menempatkan kira-kira 20,000 orang penduduk itu telah dipindahkan di luar zon terkecuali sejak gunung berapi Ruang meletus, bagaimanapun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas dan mengalami fenomena alam semula jadi dan aktiviti gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya yang berada dalam lingkaran api pasifik. - AFP

Berita Harian X