Isnin, 22 April 2024 | 5:35pm
Bekas Gabenor Jakarta dan calon Presiden Anies Baswedan bercakap semasa temu bual di dalam kereta di Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat, Indonesia. - Foto REUTERS
Bekas Gabenor Jakarta dan calon Presiden Anies Baswedan bercakap semasa temu bual di dalam kereta di Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat, Indonesia. - Foto REUTERS

Mahkamah Perlembagaan Indonesia tolak petisyen adakan semula pemilihan Presiden

JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia hari ini menolak sepenuhnya cabaran daripada calon presiden yang tewas, Anies Baswedan yang memohon untuk mengadakan pemilihan semula presiden pada Februari lalu dan untuk menghilangkan kelayakan pemenang oleh Prabowo Subianto.

Mahkamah Perlembagaan Indonesia berkata, tidak ada bukti penipuan sistematik atau besar-besaran yang dilakukan oleh presiden, badan negeri atau pegawai wilayah dan campur tangan dalam pemilihan untuk mempengaruhi pengundi.

Ketua Hakim Negara Suhartoyo ketika mengumumkan keputusan itu berkata petisyen oleh pihak plaintif tidak mempunyai asas undang-undang secara keseluruhannya.

"Lima hakim memutuskan untuk menolak petisyen itu, dengan tiga pendapat berbeza", katanya.

Anies dan Ganjar Pranowo secara berasingan mendakwa terdapat campur tangan kerajaan untuk memihak kepada Prabowo yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Pertahanan Indonesia yang menang dengan majoriti lebih besar ketika pemilihan berkenaan.

Kedua-dua mereka juga mendakwa, anak lelaki Presiden sekarang yang berusia 36 tahun itu juga tidak sepatutnya dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Probowo telah menafikan dakwaan terbabit.

Hakim turut dijangka akan membaca keputusan mereka mengenai petisyen Ganjar pada hari ini.

Saingan bekas komander pasukan khas Prabowo telah memohon kehilangan kelayakannya dengan alasan pengagihan bantuan sosial yang meluas oleh kerajaan di kawasan utama telah mempengaruhi undi yang memihak kepadanya.

Namun, anggota Kabinet telah menafikan perkara itu di mahkamah.

Prabowo, yang memenangi 58 peratus undi, telah menolaknya sebagai tidak sesuatu yang tidak berasas.

Anies dan Ganjar, yang masing-masing memenangi kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi, juga mendakwa bahawa sokongan tersirat daripada Presiden yang sangat popular, Joko Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi, telah memberikan Prabowo kelebihan yang tidak adil.

Jokowi berada di bawah penelitian yang sengit menjelang pilihan raya, dengan pengkritik mendakwa beliau menyalahgunakan kedudukannya untuk memihak kepada Prabowo, dengan tujuan untuk mengekalkan legasinya selepas sedekad mentadbir ke atas ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Calon yang tewas juga memfailkan kes kepada Mahkamah Perlembagaan Indonesia mengenai kemasukan anak Jokowi Gibran Rakabuming Raka sebagai pasangan calon Prabowo, yang dibolehkan oleh keputusan pada Oktober oleh mahkamah yang sama untuk menukar peraturan kelayakan.

Ketua hakim negara pada masa itu ialah abang ipar Jokowi, yang kemudiannya ditegur oleh panel etika kerana membenarkan campur tangan daripada pihak luar yang tidak ditentukan.

Di sebalik pelanggaran etika itu, hakim berkata tiada bukti nepotisme atau campur tangan presiden berhubung keputusan untuk menukar syarat umur.

Anies yang juga bekas gabenor Indonesia telah berulang kali memberi amaran mengenai kemunduran demokrasi di Indonesia dan mendakwa berkata negara itu yang diperintah selama 32 tahun oleh mendiang Suharto sehingga kejatuhannya pada 1998, berisiko untuk kembali kepada masa lalunya yang mengamalkan amalan berpegang teguh pada peraturan dan undang-undang negara terbabit. - REUTERS

Berita Harian X