Ahad, 21 April 2024 | 11:37pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Lelaki Russia beli emas AS$65 juta di Singapura untuk dana ceroboh Ukraine

SINGAPURA: Seorang lelaki Russia membeli jongkong emas bernilai lebih AS$65 juta dolar (RM311 juta) AS) daripada syarikat tempatan, Singapore Precious Metals Exchange (SGPMX).

Jongkong emas berkenaan dipercayai ada kaitan dengan konspirasi pengubahan wang haram yang bertujuan membiayai pencerobohan tentera Russia ke atas Ukraine.

Emas itu dijual oleh peniaga logam berharga SGPMX, yang menyimpan jongkong di Le Freeport iaitu hab logistik terkawal di Changi North Crescent.

SGPMX adalah sebuah syarikat perdagangan dan penyimpanan yang dikendalikan secara persendirian dan beribu pejabat di Singapura.

Ia membolehkan pelanggannya berdagang menggunakan emas sebenar menerusi pertukaran dalam talian peringkat global, sama seperti cara saham didagangkan di bursa saham.

Pelanggan boleh memeriksa atau menyemak secara fizikal emas yang mereka beli di syarikat berkenaan pada bila-bila masa.

Warga Russia berkenaan Feliks Medvedev, 42, didakwa di AS pada 11 April 2023, dengan satu pertuduhan mengendalikan perniagaan penghantaran wang tidak berlesen dan terbabit dalam 39 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada 22 Februari lalu, dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan selain turut mengaku menjalankan perniagaan penghantaran wang tidak berlesen di AS dan memindahkan lebih AS$150 juta (RM717.4 juta) dana haram menerusi lebih 1,300 transaksi.

Daripada jumlah berkenaan, lebih AS$65 juta (RM311 juta)digunakan untuk membeli emas daripada SGPMX.

Munurut jurucakap SGPMX kepada The Straits Times, atas sebab kerahsiaan undang-undang, mereka tidak dapat memberikan butiran mengenai perkara terbabit.

"SGPMX mematuhi piawaian tertinggi pemeriksaan dan usaha wajar serta terikat kepada klausa kerahsiaan yang ketat seperti yang ditentukan oleh peraturan tempatan selain undang-undang Akta Perlindungan Data Peribadi.

The Straits Times difahamkan bahawa Pasukan Polis Singapura sudah maklum dengan kes terbabit.

Pejabat Peguam AS Daerah Utara Georgia berkata Medvedev tinggal di Georgia, AS, di mana beliau telah mendaftarkan lapan syarikat yang digunakan untuk menghantar dana berkenaan secara haram.

Pejabat berkenaan berkata syarikat terbabit mencatatkan kos perbelanjaan perniagaan atau mempunyai pekerja dan majoriti dana haram itu datang dari beberapa syarikat luar negara sebelum dipindahkan ke syarikat asing lain.

Dua lagi warga Russia dan sebuah firma perunding perniagaan di Moscow, Russia didakwa bersubahat dengan Medvedev dalam pemindahan dana dan pengubahan wang haram berkenaan.

Alexey Chubarov, 42, dan Lev Solyannikov, 31, didakwa memaklumkan kepada Medvedev mengenai pemindahan dana seterusnya serta mengarahkannya untuk membuat pemindahan selepas itu, termasuk ke SGPMX untuk membeli jongkong emas.

Pejabat Peguam AS Daerah Utara Georgia berkata Chubarov dan Solyannikov kedua-duanya bekerja untuk Kumpulan KSK dan Chubarov dikenal pasti sebagai pakar dalam penstrukturan antarabangsa.

Medvedev dijangka dijatuhkan hukuman pada 7 Mei. - AGENSI

Berita Harian X