Ahad, 21 April 2024 | 11:42am
Warga Singapura Mitchell Ong (kiri) dikatakan dikenali oleh Audrey Fang, yang ditemui mati di Sepanyol dengan beberapa kesan tikaman. Foto EPA-EFE
Warga Singapura Mitchell Ong (kiri) dikatakan dikenali oleh Audrey Fang, yang ditemui mati di Sepanyol dengan beberapa kesan tikaman. Foto EPA-EFE

Warga Singapura dihadapkan di mahkamah Sepanyol atas tuduhan membunuh

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan di mahkamah di Murcia, tenggara Sepanyol, Jumaat lalu, selepas dituduh membunuh seorang arkitek, Audrey Fang di negara berkenaan, awal bulan ini.

Menurut media Sepanyol La Verdad, tertuduh, Mitchell Ong, 43, mengenali mangsa beberapa tahun lalu.

Suspek dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari oleh polis Sepanyol.

Fang, 39, dilaporkan hilang ketika bercuti di Xabia, tenggara Sepanyol. Mangsa dilihat masih hidup pada 9 April jam 8.45 malam menggunakan kamera litar tertutup (CCTV).

Menurut polis Sepanyol, maklumat dan imej daripada kamera CCTV di hotel itu menunjukkan bahawa mangsa dibawa oleh sebuah kenderaan ketika meninggalkan hotel.

Katanya, mayat mangsa kemudian ditemui keesokan harinya di tempat letak kenderaan kira-kira 150 kilometer (km) dari hotel didudukinya. Mangsa dilaporkan ditikam lebih daripada 30 kali.

Suspek ditahan di bilik hotelnya pada 16 April di Alicante, iaitu kira-kira 80 km dari kawasan hotel diduduki mangsa.

Menurut laporan media, suspek didakwa sering menginap di hotel dan menyewa kereta mewah.

Jurucakap polis Sepanyol sebelum ini memberitahu The Straits Times (ST) bahawa suspek mungkin mempunyai hubungan percintaan dengan mangsa.

"Kami masih menyiasat motif pembunuhan ini. Terdapat pelbagai kemungkinan motif, antaranya disebabkan faktor ekonomi atau hubungan.

Sementara itu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), pihaknya membantu rakan sejawatnya dari Sepanyol menyelesaikan kes jenayah berkenaan.

Menurut jurucakap itu, berikutan insiden berlaku di Sepanyol, SPF akan terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa Sepanyol.

Fang melancong secara bersendirian ke Xabia pada 4 April dan sepatutnya pulang pada 12 April dari Barcelona.

Keluarga Fang kemudian membuat laporan pada 11 April di Kementerian Luar Negeri Singapura selepas mangsa tidak dapat dihubungi sejak 10 April.

Selepas mayat Fang ditemui, keluarga mangsa mengesahkannya di sebuah bilik mayat di Murcia pada 18 April.

Mahkamah Majistret kemudian menetapkan mayat mangsa boleh dikembalikan kepada keluarganya untuk dihantar pulang ke Singapura. -The Straits Times

Berita Harian X