Sabtu, 20 April 2024 | 5:09pm
Orang ramai melihat letusan gunung berapi Gunung Ruang di Pulau Tagulandang di Sitaro, Sulawesi Utara, Indonesia. - Foto AFP
Orang ramai melihat letusan gunung berapi Gunung Ruang di Pulau Tagulandang di Sitaro, Sulawesi Utara, Indonesia. - Foto AFP

Indonesia siap hadapi lebih banyak letusan di gunung berapi terpencil

TAGULANDANG: Pihak berkuasa Indonesia berjaga-jaga sejak Jumaat lalu untuk menghadapi lebih banyak letusan dari gunung berapi pulau terpencil, Gunung Ruang.

Bencana alam itu memaksa ribuan orang berpindah minggu ini, ketika penduduk berhampiran mula membersihkan serpihan selepas batu cair atau lahar melanda kampung mereka.

Gunung Ruang meletus hampir enam kali dalam 24 jam, bermula lewat Selasa lalu, mengeluarkan belerang merah menyala yang mengerikan, dengan asap berkepul menjulang ke langit.

Walaupun pegawai berkata letusan Gunung Ruang mula tenang pada Jumaat, pihak berkuasa mengekalkan tahap amaran tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat, yang menunjukkan aktiviti gunung berapi masih tinggi.

Ratusan penduduk tempatan di pulau Tagulandang dilihat membersihkan sisa letusan dari gunung berapi dari pelabuhan dan halaman mereka pada pagi Jumaat dengan bantuan tentera serta pegawai polis, menurut seorang wartawan AFP.

Ada yang menceritakan mengenai ketakutan mereka ketika bergegas menyelamatkan diri apabila letusan bermula.

Jurucakap agensi mitigasi bencana negara (BNPB), Abdul Muharidalam, dalam satu kenyataan berkata, asap putih 'berintensiti sederhana hingga tinggi' dilihat berkepul sehingga 100 meter di atas kawah, lapor Malay Mail.

"Kami amat memerlukan bantuan secepat mungkin, untuk menutup sementara bumbung yang bocor," kata Herman Sahoa, seorang penduduk Tagulandang berusia 64 tahun.

"Kami bimbang akan ada letusan susulan, kerana terdapat maklumat mengenainya," katanya. - AGENSI

Berita Harian X