Sabtu, 20 April 2024 | 2:57pm
Anggota Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA) bersiap sedia untuk mengawal Myawaddy, bandar sempadan Thailand-Myanmar di bawah kawalan gabungan pasukan pemberontak yang diketuai Kesatuan Kebangsaan Karen, di Myanmar, pada 15 April 2024. - Foto fail REUTERS
Anggota Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA) bersiap sedia untuk mengawal Myawaddy, bandar sempadan Thailand-Myanmar di bawah kawalan gabungan pasukan pemberontak yang diketuai Kesatuan Kebangsaan Karen, di Myanmar, pada 15 April 2024. - Foto fail REUTERS

Pertempuran memuncak di sempadan Myanmar-Thailand

BANGKOK: Pertempuran bertambah sengit di sempadan timur Myanmar dengan Thailand hari ini, memaksa kira-kira 200 orang awam melarikan diri ketika pemberontak mendesak mengusir tentera junta yang bersembunyi di lintasan sempadan jambatan.

Pejuang penentangan dan pemberontak etnik minoriti merampas bandar perdagangan utama Myawaddy di sebelah sempadan Myanmar pada 11 April, memberikan tamparan hebat kepada tentera serba lengkap yang sedang bergelut untuk mentadbir dan kini menghadapi ujian kritikal terhadap kredibiliti medan perangnya.

Menurut tiga saksi di sempadan Thailand dan Myanmar, mereka mendengar letupan dan tembakan mesingan berat berhampiran jambatan strategik sejak lewat semalam yang berterusan hingga awal pagi tadi.

Beberapa media Thailand berkata, kira-kira 200 orang menyeberangi sempadan untuk mencari perlindungan sementara di Thailand.

Sementara itu, stesen penyiar NBT dalam satu siaran di platform X berkata, pasukan penentang menggunakan mesingan 40 milimeter(mm) dan menjatuhkan 20 bom dari dron untuk menyasarkan kira-kira 200 tentera junta yang berundur daripada serangan pemberontak terkoordinasi ke atas Myawaddy dan pos tentera sejak 5 April.

Setakat ini, Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu dan jurucakap junta Myanmar tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, berkata beliau mengikuti rapat pergolakan itu dan Thailand bersedia memberikan bantuan kemanusiaan sekiranya keadaan memerlukan.

"Saya tidak mahu pertempuran sebegitu memberi kesan kepada integriti wilayah Thailand dan kami bersedia untuk melindungi sempadan kami dan keselamatan rakyat Thailand," katanya di X.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut mengenai pelarian.

Tentera Myanmar berdepan cabaran terbesar sejak mula menguasai bekas jajahan British itu pada 1962, terperangkap dalam konflik untuk menstabilkan keruntuhan ekonomi sejak rampasan kuasa 2021 terhadap kerajaan pimpinan pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi.

Negara itu dibelenggu dalam perang saudara antara tentera di satu pihak dan di pihak yang lain, pakatan longgar tentera etnik minoriti yang ditubuhkan dan gerakan penentangan yang terbina daripada tindakan keras junta terhadap protes antirampasan kuasa.

Penawanan Myawaddy dan pos tentera di sekitarnya satu kelemahan ketara bagi junta yang sekian lama dihimpit oleh sekatan Barat dengan bandar itu, sumber hasil cukai utama dan saluran untuk lebih daripada AS$1 bilion (RM4.76 bilion) bagi perdagangan sempadan tahunan.

Media Khasood dalam catatan di X menunjukkan video orang awam Myanmar, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dikawal oleh askar Thailand di pintu masuk ke negara itu.

Semalam, Thailand berkata, tiada pelarian memasuki negaranya dan kerajaannya sedang berbincang dengan agensi bantuan mengenai meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di bahagian Myanmar.

Berita Harian X