Sabtu, 20 April 2024 | 1:04pm
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Data peribadi ibu bapa, kakitangan 127 sekolah di Singapura diceroboh

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) semalam mengesahkan berlaku pelanggaran data di salah satu vendornya mengakibatkan 'akses tidak dibenarkan' bagi nama dan alamat e-mel ibu bapa dan kakitangan lima sekolah rendah dan 122 sekolah menengah.

Portal berita CNA melaporkan MOE dimaklumkan oleh Mobile Guardian bahawa portal pengurusan penggunanya diceroboh pada Rabu, dengan insiden itu berlaku di ibu pejabat syarikat itu di Surrey, United Kingdom.

Mobile Guardian ialah aplikasi pengurusan peranti (DMA) yang dipasang pada peranti pembelajaran peribadi yang digunakan oleh pelajar, seperti iPads dan Google Chromebook.

Aplikasi terbabit membolehkan ibu bapa mengurus penggunaan peranti pelajar dengan mengehadkan aplikasi atau laman sesawang dan tempoh penggunaan gajet.

MOE berkata, aplikasi pengurusan perantinya itu tidak terjejas oleh pelanggaran data kerana ia berasingan daripada portal pengurusan pengguna Mobile Guardian dan 'kekal selamat untuk digunakan'.

"Tiada bukti akses tanpa kebenaran ke dalam DMA MOE. Ibu bapa yang anak mereka menggunakan iPad atau Chromebook boleh terus menggunakan DMA seperti biasa," katanya.

MOE serta sekolah berkenaan akan memaklumkan kepada semua guru dan ibu bapa terbabit mengenai insiden pelanggaran data itu.

Katanya, mereka juga dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang e-mel pancingan data yang mungkin dihantar kepada mereka.

Dalam pada itu, MOE turut menyatakan kebimbangannya kepada Mobile Guardian dan laporan polis sudah dibuat.

Sebagai tindak balas kepada insiden itu, Mobile Guardian melaksanakan langkah keselamatan selanjutnya seperti mengunci semua akaun pentadbiran.

Syarikat perisian pengurusan peranti mudah alih itu juga bekerjasama dengan pakar keselamatan teknologi maklumat untuk menyiasat cara pelanggaran data berlaku.

Mobile Guardian dilantik sebagai vendor perkhidmatan pengurusan peranti mudah alih rasmi MOE pada November 2020.

CNA cuba menghubungi kementerian, Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan Mobile Guardian untuk maklum balas lanjut.

Berita Harian X