Sabtu, 20 April 2024 | 8:26am
Foto fail AGENSI
Foto fail AGENSI

Masuk, keluar Singapura dengan tunai lebih $20,000 perlu isytihar dalam talian

SINGAPURA: Mulai 13 Mei ini, pengembara yang masuk dan keluar dari Singapura perlu membuat pengisytiharan dalam talian jika mereka mempunyai wang tunai lebih $20,000 (RM70,286) atau yang setara dengannya dalam mata wang asing.

The Straits Times melaporkan polis dalam satu kenyataan semalam berkata, langkah itu bertujuan menjadikan proses pengisytiharan sedia ada lebih mudah.

Pada masa ini, pengembara perlu menyerahkan borang dalam bentuk salinan cetak apabila mereka masuk atau meninggalkan negara ini.

Borang yang dikenali sebagai pengisytiharan 'Physical Currency and Bearer Negotiable Instruments' (CBNI) ini akan dihentikan pada 13 Mei.

'Bearer negotiable instruments' atau instrumen boleh niaga pembawa ialah item yang mewakili sejumlah wang yang hak miliknya boleh dipindahkan secara bebas antara beberapa pihak.

Ini termasuk cek pengembara, bil pertukaran, nota janji hutang, bon pembawa, kiriman wang dan pesanan pos.

Menurut polis pengisytiharan CBNI membantu usaha Singapura untuk memerangi aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram, sambil menambah keperluan serupa adalah perkara biasa di banyak negara.

Pengembara yang dijangka tiba atau berlepas dari Singapura pada atau selepas 13 Mei boleh menyerahkan pengisytiharan CBNI secara dalam talian mulai 10 Mei.

Mereka mesti melengkapkan pengisytiharan sebelum sampai ke pusat pemeriksaan Singapura dan tidak perlu menyerahkan sebarang borang salinan cetak selepas itu, kata polis.

Pengembara juga boleh mengakses dan menyerahkan pengisytiharan elektronik melalui aplikasi mudah alih MyICA atau di laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sehingga tiga hari sebelum memasuki atau meninggalkan negara ini.

Pengisytiharan itu memerlukan maklumat seperti butiran pihak yang membawa CBNI, negara atau wilayah CBNI dipindahkan dari dan ke, sebab pergerakan itu, serta sumber dan penerima CBNI.

Mereka yang tiba di Singapura juga perlu menyerahkan Kad Ketibaan Singapura sebelum memulakan proses pengisytiharan CBNI.

Setelah diserahkan, pengembara akan menerima e-mel pengakuan yang boleh diberikan sebagai bukti pengisytiharan kepada pegawai ICA di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut.

Walau bagaimanapun, mereka mesti membatalkan dan menyerahkan semula pengisytiharan jika jumlah CBNI berubah selepas penyerahan awal.

Berita Harian X