Jumaat, 19 April 2024 | 10:50pm
Gunung Ruang memuntahkan abu gunung berapi seperti yang dilihat dari Tagulandang di Kabupaten Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara, Indonesia, hari ini. -REUTERS
Gunung Ruang memuntahkan abu gunung berapi seperti yang dilihat dari Tagulandang di Kabupaten Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara, Indonesia, hari ini. -REUTERS

Gunung berapi Ruang meletus lagi selepas beribu-ribu penduduk dipindahkan

TAGULANDANG: Gunung berapi Ruang di Indonesia meletus lagi hari ini, selepas hampir lebih enam kali letusan berlaku awal minggu ini memaksa beribu-ribu penduduk berpindah apabila lahar mengalir ke kampung mereka.

Pegawai berkata, Gunung Ruang di Sulawesi Utara yang meletus Selasa lalu, kini kembali tenang, tetapi mula mengeluarkan abu beberapa jam kemudian selepas pihak berkuasa mengekalkan tahap berjaga-jaga tertinggi dan memberitahu penduduk untuk menjauhi zon terkecuali sepanjang enam kilometer.

Agensi gunung berapi negara itu berkata, letusan itu menghasilkan kepulan asap 400 meter di atas puncak.

"Terdapat letusan Gunung Ruang, Sulawesi Utara pada jam 5.06 petang waktu tempatan.

"Kepulan abu berwarna kelabu condong ke arah selatan," menurut kenyataan itu.

Beratus-ratus penduduk tempatan di pulau Tagulandang sebelum ini dilihat membersihkan bahan gunung berapi dari pelabuhan dan halaman mereka hari ini dengan bantuan tentera dan pegawai polis, menurut seorang wartawan AFP.

Penduduk lain merayu untuk mendapatkan lebih banyak bantuan dan menyatakan kebimbangan akan berlaku lagi letusan.

Agensi volkanologi sebelum ini memberi amaran dalam satu kenyataan bahawa aktiviti gunung berapi di Ruang masih tinggi dengan potensi bahaya termasuk batu terbang, awan panas dan aliran lahar.

Ia menasihatkan semua penduduk untuk memakai pelitup muka untuk mengelakkan masalah pernafasan. -AFP

Berita Harian X