Jumaat, 19 April 2024 | 2:06pm
Gambar hiasan menunjukkan fenomen banjir akibat kawasan darat yang semakin tenggelam. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan menunjukkan fenomen banjir akibat kawasan darat yang semakin tenggelam. - Foto BERNAMA

Hampir separuh bandar utama di China sedang tenggelam

SINGAPURA: Hampir separuh bandar utama di China sedang tenggelam pada tahap 'sederhana hingga teruk', sekali gus mewujudkan risiko banjir bagi berjuta-juta orang terutama apabila paras laut meningkat.

Rumusan itu dibuat hasil kajian data satelit seluruh negara yang terbitkan hari ini oleh jurnal 'Science'.

Pengarang kajian itu mendapati 45 peratus daripada tanah bandar di China sedang tenggelam lebih cepat pada kadar tiga milimeter (mm) setahun, dengan 16 peratus lebih daripada 10mm setahun

Fenomena itu didorong bukan saja oleh penurunan paras air tetapi juga kerana peningkatan beban atau berat akibat pembinaan berlebihan di sesuatu kawasan.

Dengan penduduk bandar di China yang sudah melebihi 900 juta orang, sebahagian kecil tanah yang tenggelam di negara itu boleh menjadi ancaman besar kepada kehidupan bandar, kata pasukan penyelidik diketuai Ao Zurui daripada Universiti South China Normal.

Tanah yang tenggelam di China menyebabkan kerugian tahunan lebih daripada 7.5 bilion yuan (RM4.98 bilion) dan dalam abad yang akan datang, hampir 25 peratus kawasan pantai boleh mendap lebih rendah daripada paras laut, meletakkan ratusan juta orang berdepan risiko lebih besar diancam banjir.

"Ia benar-benar menyumbang kepada masalah besar negara berikutan ia bukan terjadi di satu atau dua tempat.

"Ia adalah mikrokosmos apa yang berlaku di seluruh dunia," kata Penyelidik di Pusat Penyelidikan Perubahan Iklim Tyndall di Universiti East Anglia, Robert Nicholls.

Bandar utara Tianjin yang dihuni lebih daripada 15 juta orang, dikenal pasti sebagai salah satu bandar paling teruk terjejas.

Tahun lalu, kira-kira 3,000 penduduk dipindahkan selepas 'bencana geologi mengejut' yang dikatakan penyiasat berpunca disebabkan kekurangan air serta pembinaan telaga geoterma.

Banyak daerah arang batu lama di China juga tenggelam akibat perlombongan, mendorong pihak berkuasa menyuntik konkrit ke dalam terowong yang runtuh untuk mengukuhkan tanah.

Masalah itu tidak hanya membelenggu China berikutan kajian berasingan yang diterbitkan pada Februari lalu mendedahkan kira-kira 6.3 juta kilometer (km) persegi tanah di seluruh dunia juga berisiko.

Antara negara paling teruk terjejas ialah Indonesia, dengan sebahagian besar ibu negara, Jakarta, kini berada di bawah paras laut.

Nicholls berkata, perkara itu turut dialami Tokyo, yang tenggelam kira-kira lima meter sehingga ia mengharamkan pengambilan air bawah tanah pada 1970-an.

"Mitigasi tanah tenggelam ini perlu diteliti secara sangat serius, tetapi kita tidak boleh menghentikan semuanya. Jadi, kita mempertimbangkan penyesuaian dan pembinaan empangan atau batas penahan aliran air," katanya.

Pakar Geofizik di Universiti Rhode Island, Matt Wei, berkata daripada 44 bandar pantai utama yang mengalami masalah itu, 30 daripadanya terletak di Asia, menurut kajian Singapura pada 2022.

"Ia adalah masalah perbandaran dan pertumbuhan serta kepadatan penduduk, di mana lebih besar jumlah penduduk, maka lebih banyak air bawah tanah diguna dan lebih cepat ia tenggelam," katanya. - REUTERS

Berita Harian X