Khamis, 18 April 2024 | 2:50pm
Foto ihsan daripada Dr Silva Sumar
Foto ihsan daripada Dr Silva Sumar

'Hero Stone' untuk mangsa tragedi landasan kereta api maut akan dilancar 1 Mei

BANGKOK: Untuk meraih kejayaan memang sukar dan walaupun berdepan pelbagai cabaran, Dr Silva Kumar dan pasukannya terdiri daripada rakyat Malaysia dan India di Bangkok (MIB) akhirnya berjaya memasang 'hero stone' di Kanchanaburi bagi memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam pembinaan landasan kereta api maut yang terkenal antara Thailand dan Myanmar.

Silva yang juga Pengerusi MIB, berkata selepas lima tahun bersusah payah, hero stone atau tugu peringatan itu akan dilancarkan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel pada 1 Mei - bertepatan dengan Hari Buruh-untuk memberi penghormatan kepada buruh paksa yang bekerja dari 1944 hingga 1947.

"Mendapatkan kebenaran adalah halangan paling ketara terutama daripada pemimpin Buddha, jawatankuasa tokong dan pihak berkuasa tempatan di Kanchanaburi.

"Selama kira-kira lima tahun, MIB dengan sokongan kuat daripada Jojie, telah berusaha untuk mendapatkan kebenaran bagi tugu peringatan ini," katanya kepada Bernama.

Silva berkata, hero stone yang diperbuat daripada granit yang dikuari dari Madurai, India mempunyai ketinggian 2.5 meter dengan lebar 1.5m dan berat hampir tiga tan akan didirikan di Chedi Niranam dalam Wat Thaworn Wararam.

"Hero stone yang dianggarkan berharga antara RM80,000 hingga RM90,000 itu menampilkan rekaan yang menggambarkan Dewa Shiva dalam postur meditasi. Ia dipilih sebagai simbolik ketenangan kepada keluarga mereka yang terkorban semasa perang," katanya.

Menurut Silva, penderitaan besar yang dialami oleh tawanan perang (POW) Bersekutu dan buruh paksa Asia yang juga dikenali sebagai "Romusha" dalam bahasa Jepun, semasa pembinaan Rel Thailand-Burma sepanjang 415 kilometer itu, kekal tidak dilihat secara meluas kerana kesedaran mengenai peranan buruh Asia di landasan maut itu sangat sedikit.

Jumlah sebenar kematian semasa pembinaan landasan kereta api maut itu tidak diketahui, tetapi anggaran menunjukkan bahawa kira-kira 100,000 orang terbunuh termasuk 12,000 POW Bersekutu dan puluhan ribu Romusha, yang terpaksa bekerja dalam keadaan mengerikan.

Orang ramai khususnya rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menyaksikan pelancaran hero stone bagi memperingati wira yang tak didendang itu pada 1 Mei di Wat Thaworn Wararam bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari. - BERNAMA

Berita Harian X