Khamis, 18 April 2024 | 1:01pm
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) menunjukkan Gunung Ruang mengeluarkan asap di Sitaro, Sulawesi Utara, Indonesia. - Foto AFP
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) menunjukkan Gunung Ruang mengeluarkan asap di Sitaro, Sulawesi Utara, Indonesia. - Foto AFP

Letusan Gunung Ruang: Indonesia tutup lapangan terbang wilayah, pindahkan lebih ramai penduduk

JAKARTA: Indonesia menutup lapangan terbang wilayah dan memindahkan ratusan penduduk di sekitar gunung berapi Ruang selepas ia mengeluarkan letupan lava, batu dan abu selama beberapa hari, kata pegawai pada Khamis, mengisytiharkan amaran tertinggi mengenai keadaan itu.

Letusan dramatik gunung berapi pada Rabu di pulau terpencil di wilayah Sulawesi Utara itu melemparkan lava merah, batu dan abu sejauh tiga kilometer ke langit.

Petir ungu turut kelihatan di atas gunung berapi yang meletus, hasil rakaman video di media sosial.

"Kami berlari, kawan-kawan. Kami melarikan diri kerana abu semakin hampir," kata seorang saksi yang merakam letusan itu sambil berebut-rebut untuk berpindah.

Lebih 800 orang dipindahkan dari kawasan itu dengan pihak berkuasa meluaskan lagi zon pemindahan selepas agensi gunung berapi menaikkan status berjaga-jaga.

"Potensi letusan selanjutnya masih tinggi, jadi kita perlu terus berjaga-jaga," kata pegawai agensi, Heruningtyas Desi Purnamasari kepada pemberita pada Khamis, menyalahkan peningkatan pesat dalam aktiviti gunung berapi.

Agensi itu juga menerima laporan batu yang jatuh dan abu merosakkan rumah memaksa kakitangan dan pesakit di hospital berdekatan dipindahkan.

Pihak berkuasa pengangkutan menutup lapangan terbang di ibu kota wilayah Manado untuk melindungi daripada 'hujan abu' daripada letusan.

Pihak berkuasa mengepung kawasan seluas 6km di sekitar gunung berapi dan memindahkan lebih ramai penduduk dari pulau jiran Tagulandang, kata jurucakap agensi mitigasi bencana, Abdul Muhari.

"Kira-kira 1,500 daripada mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi perlu segera dipindahkan, manakala hampir 12,000 lagi akan terjejas," katanya.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran risiko tsunami jika bahagian gunung runtuh ke lautan.

Kira-kira 400 orang terbunuh dalam tsunami yang dicetuskan oleh letusan gunung berapi sebelum ini pada 1871. - REUTERS

Berita Harian X