Khamis, 18 April 2024 | 11:05am
Warga Singapura, Audrey Fang Dirou didakwa ditikam lebih 30 kali dan mayatnya ditemui kira-kira 150km dari hotelnya. - Foto Facebook Fang Dirau
Warga Singapura, Audrey Fang Dirou didakwa ditikam lebih 30 kali dan mayatnya ditemui kira-kira 150km dari hotelnya. - Foto Facebook Fang Dirau

Wanita Singapura dilaporkan hilang, ditemui mati dengan 30 kesan tikaman

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura ditahan di Sepanyol kerana disyaki membunuh wanita yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Audrey Fang Dirou, 39, dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui dengan kesan tikaman, menurut media Sepanyol.

Wanita itu didakwa ditikam lebih daripada 30 kali dan mayatnya ditemui pada jarak kira-kira 150 kilometer dari hotelnya iaitu tempat mangsa dikatakan kali terakhir dilihat masih hidup.

Mayatnya ditemui di pusat hentian lori di Abanilla, wilayah Murcia pada 10 April lalu.

Ia ditemui seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk bersarapan di sebuah restoran yang terletak di tepi lebuh raya di Abanilla.

Suspek ditahan pada 16 April lalu oleh pengawal awam di wilayah Alicante dan kemudian menyerahkannya kepada pihak berkuasa di Murcia.

Media Sepanyol melaporkan, suspek tinggal di sebuah hotel di Alicante, di mana dia ditahan.

Fang sebelum ini mengembara bersendirian ke Xabia, Sepanyol dan tidak dapat dihubungi sejak 10 April lalu.

Dia meninggalkan Singapura pada 4 April dan dijangka pulang pada 12 April lalu.

Rakan mangsa, Lee Si Hui, 30, mengesahkan berita itu ketika dihubungi media pada 18 April.

Katanya, ketika ini keluarga mangsa tidak dapat berkongsi banyak maklumat kerana sedang membantu siasatan pihak polis.

"Mereka tidak mahu menghalang pengumpulan bukti," katanya.

Si Hui berkata, sebelum ini dia turut ke Sepanyol bersama abang dan sepupu Fang untuk mengesan keberadaan wanita berkenaan.

Keluarga itu kemudian membuat laporan kepada Kementerian Luar Negeri pada 11 April.

Abang Fang, yang berada di Lapangan Terbang Changi untuk mengambilnya mendapati, mangsa tidak menaiki penerbangan pulangnya pada 12 April.

Dia kemudiannya membuat laporan polis pada hari yang sama.

Keluarga Fang mendapati, mangsa meninggalkan bilik hotelnya pada 9 April lalu, tetapi tidak pulang dan segala barangannya masih berada di dalam bilik.

Mangsa sebelum ini memberitahu keluarganya dia mungkin bertemu rakan di Sepanyol, tetapi mereka tidak tahu identiti individu berkenaan.

Fang, yang masih bujang tinggal bersama bapa dan adik lelakinya. Arkitek itu sepatutnya memulakan pekerjaan baharu pada Mei selepas lawatan ke Jepun bersama ibu saudara dan sepupunya pada penghujung April.

Ia bukan kali pertama Fang melancong ke luar negara seorang diri. - AGENSI

Berita Harian X