Khamis, 18 April 2024 | 9:27am
Jet pejuang tentera Myanmar. - Foto fail AGENSI
Jet pejuang tentera Myanmar. - Foto fail AGENSI

Tentera udara Myanmar mengebom kem tentera diduduki pemberontak di Myawaddy

YANGON: Tentera Myanmar melancarkan serangan udara ke atas bekas kem tenteranya yang diduduki pemberontak di pinggir perbandaran Myawaddy.

Sumber Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), memaklumkan jet pejuang MiG-29 melakukan serangan udara terhadap kedudukan pemberontak di Kem Pa Song dari batalion infantri ke-275, yang ditawan oleh tentera mereka beberapa hari lalu.

Pemberontak mengeluarkan bendera kerajaan di kem dan menggantikannya dengan bendera KNU.

Pengeboman itu memusnahkan beberapa bangunan di kem, tetapi tidak diketahui berapa ramai pemberontak terbunuh atau cedera, kerana kebanyakan mereka memasuki tempat perlindungan sebelum serangan.

Selepas menduduki kem Myawaddy, pemberontak Karen memasang papan tanda menggesa etnik Karen untuk menyertai pasukan KNU, dengan tawaran gaji bulanan 5,000 baht.

Pasukan tentera Myanmar dihantar untuk membantu tentera yang terkepung di Kem Pa Song dipatahkan oleh pasukan anti junta itu dan terpaksa berundur dengan ramai yang korban, menurut sumber pemberontak, yang juga mendakwa seorang jeneral tentera Myanmar cedera dalam serangan dron pemberontak dan dimasukkan ke hospital di Yangon.

Beberapa tentera Myanmar dari batalion infantri ke-275, yang ditarik balik dari Kem Pa Song, kini berkumpul semula berhampiran Jambatan Persahabatan Thai-Myanmar.

Tentera Thailand dari Pasukan Petugas Ratchamanu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sepanjang sempadan antara daerah Mae Sot Thailand di wilayah Tak dan perbandaran Myawaddy, sebuah hab perdagangan utama.

Peniaga Thailand di daerah Mae Sot berkata, pertempuran di Myanmar tidak menjejaskan perdagangan sempadan dengan ketara walaupun bilangan trak yang memasuki Myanmar merentasi Jambatan Persahabatan Thai-Myanmar yang pertama berkurangan kerana kebimbangan keselamatan. - AGENSI

Berita Harian X