Rabu, 17 April 2024 | 2:10pm
Foto diedarkan Center for Volcanology and Geological Hazard Mitigation menunjukkan letusan Gunung Berapi Ruang di Kepulauan Sangihe yang dilihat dari Sitaro, Sulawesi Utara. - Foto AFP
Foto diedarkan Center for Volcanology and Geological Hazard Mitigation menunjukkan letusan Gunung Berapi Ruang di Kepulauan Sangihe yang dilihat dari Sitaro, Sulawesi Utara. - Foto AFP

Gunung Ruang meletus, ratusan penduduk dipindahkan

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.

Gunung berapi yang terletak di pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak semalam.

Pihak berkuasa mempertingkatkan tahap amaran ke tahap kedua tertinggi berikutan peningkatan aktiviti, kata seorang pegawai Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia (PVMBG), Heruningtyas Desi Purnamasari.

Letusan Gunung Ruang dicetuskan gempa bumi baru-baru ini di pulau itu dan gunung itu dalam keadaan berbahaya kerana mengeluarkan asap panas setinggi 1.8 kilometer, katanya.

"Kita perlu mengosongkan pulau itu kerana kita menjangkakan akan ada lebih banyak letusan. Tiada aktiviti dibenarkan dalam jarak empat kilometer dari kawah," katanya.

Rakaman menunjukkan aliran lava merah mengalir menuruni gunung dan ia dipantulkan di permukaan air serta asap kelabu berkepul di atas kawahnya.

Pulau Ruang adalah rumah kepada 838 penduduk, kebanyakan mereka dipindahkan ke pulau Tagulandang terdekat, kata Heruningtyas.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.

Berita Harian X