Ahad, 14 April 2024 | 3:41pm
Orang ramai yang menyeberangi Jambatan Persahabatan Thailand-Myanmar meningkat sejak kejatuhan sebuah bandar sempadan strategik kepada pemberontak etnik di Myanmar, dekat Mae Sot, di wilayah Tak, Thailand. - Foto REUTERS
Orang ramai yang menyeberangi Jambatan Persahabatan Thailand-Myanmar meningkat sejak kejatuhan sebuah bandar sempadan strategik kepada pemberontak etnik di Myanmar, dekat Mae Sot, di wilayah Tak, Thailand. - Foto REUTERS

Ramai penduduk di sempadan Myanmar lari masuk Thailand

MAE SOT: Semakin ramai penduduk Myanmar di sempadan melarikan diri memasuki Thailand selepas bandar strategik penting, Myawaddy, jatuh ke tangan kumpulan anti junta yang semakin kuat.

Peningkatan itu didorong kebimbangan pengunduran tentera Myanmar dari wilayah itu mungkin disusuli serangan udara berikutan kehilangan bandar itu, yang menjadi tamparan hebat kepada junta tentera Myanmar.

Ini kerana wilayah berkenaan adalah sumber ekonomi penting dari segi perdagangan sempadan, tetapi kini kumpulan pemberontak seperti Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), yang mengetuai serangan ke atas Myawaddy, sudah bertapak kukuh di sana.

Menteri Luar Thailand, Parnpree Bahiddha-Nukara, hari ini bersedia untuk melawat Mae Sot, yang terletak betul-betul di seberang Sungai Moei dari Myawaddy.

Beliau akan menilai pelbagai perkara selepas junta Myanmar kehilangan lebih banyak wilayah dalam pusingan pertempuran terbaru.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun, memberitahu media Myanmar bahawa beberapa tenteranya menyerah diri kerana bersama keluarga dan perbincangan dengan Thailand sedang diadakan untuk membawa mereka pulang.

Kira-kira 200 anggota tentera Myanmar berundur semalam ke jambatan yang menghubungkan ke Mae Sot selepas KNU berkata ia sudah menguasai Myawaddy.

Ketika pertempuran di Myanmar semakin sengit, jumlah mereka yang menyeberang ke Mae Sot dari Myawaddy meningkat dua kali ganda minggu ini kepada kira-kira 4,000 orang sehari.

Pada Khamis, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berkata, pertempuran di Myanmar tidak seharusnya merebak ke negaranya.

Dalam temu bual dengan Reuters minggu lalu, Srettha berkata, junta Myanmar 'kehilangan kekuatan', ketika beliau mendesak untuk mengadakan rundingan antara junta tentera dan kumpulan pemberontak.

Thailand, yang berkecuali dalam konflik Myanmar dan boleh menerima sehingga 100,000 orang yang mahu berpindah, meneruskan pembabitan dengan jirannya, termasuk penghantaran bantuan sejak Srettha berkuasa pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, junta kemungkinan semakin terkesan selepas kumpulan pemberontak Tentera Arakan memberi amaran akan memperbaharui serangan di negeri Rakhine di barat Myanmar.

Ketua Tentera Arakan, Twan Mrat Naing, memberi amaran kepada penduduk di bandar Rakhine di Sittwe dan Kyauk Phyu supaya berpindah sebelum 'pertempuran penentuan', kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Sebagai salah satu angkatan bersenjata etnik Myanmar yang paling berkuasa, Tentera Arakan adalah sebahagian daripada Operasi 1027, serangan besar oleh tiga kumpulan pemberontak pada Oktober lalu yang merampas wilayah penting daripada junta. - REUTERS

Berita Harian X