Jumaat, 12 April 2024 | 5:16pm
Seorang anggota tentera berjaga-jaga, ketika 200 anggota tentera Myanmar berundur ke sebuah jambatan ke Thailand selepas serangan selama beberapa hari oleh penentangan anti-junta, yang mengisytiharkan telah memenangi kawalan ke atas bandar sempadan kritikal Myawaddy. - Foto REUTERS
Seorang anggota tentera berjaga-jaga, ketika 200 anggota tentera Myanmar berundur ke sebuah jambatan ke Thailand selepas serangan selama beberapa hari oleh penentangan anti-junta, yang mengisytiharkan telah memenangi kawalan ke atas bandar sempadan kritikal Myawaddy. - Foto REUTERS

Ramai penduduk membanjiri sempadan Myanmar untuk ke Thailand kerana takut serangan udara

MAE SOT: Ramai penduduk Myanmar yang sebahagiannya dalam ketakutan kerana serangan udara, beratur di sempadan berhampiran bandar Myawaddy untuk melarikan diri dengan menyeberangi Thailand.

Ia selepas bandar terbabit jatuh ke tangan kumpulan pemberontak antijunta yang sedang meraih sokongan.

Dengan kejatuhan bandar itu kepada puak penentang, ia sekali gus memberi tamparan hebat kepada juta tatkala negara itu sedang bergelut dengan kejatuhan ekonomi khususnya di kawasan pintu masuk.

Pakar melihat perdagangan di kawasan sempadan menjadi penyumbang pendapatan buat negara itu, sambil mengukuhkan kekuasaan puak pemberontak seperti Kesatuan Karen Kebangsaan (KNU) yang dilapor mendalangi serangan terhadap Myawaddy.

Seorang penduduk yang sedang menunggu giliran untuk merentasi Myanmar ke Thailand, Moe Moe Thet San, 39, yang ditemui mengakui dia takut dengan serangan udara di kawasan itu.

Ketika itu, dia menyeberangi sempadan negara itu bersama anak lelakinya yang baru berumur lima tahun.

Menceritakan pengalamannya, dia mengakui bunyi dentuman bom yang terlalu kuat memaksa mereka melarikan diri dari kediaman masing-masing kerana bimbang risiko keselamatan.

"Mereka menyebabkan bunyi terlalu kuat sehingga menggegarkan rumah saya.

"Itu sebabnya saya melarikan diri ke sini. Mereka tidak boleh mengebom Thailand," katanya.

Berikutan itu, Menteri Luar Thailand, Parnpree Bahiddha-Nukara, mengadakan lawatan ke Mae Sot hari ini, yang kawasan itu cuma dipisahkan dengan Sungai Moei dari bandar Myawaddy.

Lawatan itu bagi menilai isu berbangkit selepas kerajaan Myanmar yang diperintah oleh junta tewas banyak wilayah dalam pertempuran terkini.

Sementara itu, jurucakap junta, Zaw Min Tun, ketika bercakap kepada media Myanmar berkata tentera terpaksa menyerah diri kerana ada dalam kalangan mereka perlu menemani keluarga, termasuk berunding dengan pihak Thailand untuk pulang ke negara itu.

Konflik di Myanmar meletus sejak 2021, selepas tentera junta menjatuhkan kerajaan dipilih secara demokratik, sehingga mengundang protes hebat penduduk negara itu, memaksa tindakan keras diambil terhadap pihak berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X