Khamis, 11 April 2024 | 11:46am
Anggota tentera Thailand berkawal di tebing sungai Moei dekat pos kawalan sempadan Tak di Myanmar, dekat wilayah Mae Sot, Thailand. - Foto AFP
Anggota tentera Thailand berkawal di tebing sungai Moei dekat pos kawalan sempadan Tak di Myanmar, dekat wilayah Mae Sot, Thailand. - Foto AFP

Pertempuran sengit di sempadan Myanmar, tentera Thailand berwaspada

MAE SOT: Tentera junta Myanmar di bandar sempadan yang bergolak kini berundur dari kedudukan mereka, kata jurucakap kumpulan etnik bersenjata Myanmar dan seorang pegawai Thailand kepada AFP hari ini.

Difahamkan, lebih 200 askar berundur ke jambatan yang menghubungkan Myawaddy ke bandar sempadan Thailand, Mae Sot.

Kereta perisai tentera Thailand meneruskan rondaan di bandar Mae Sot ketika ledakan meriam kedengaran di sempadan Myanmar, di mana junta tentera dan kumpulan etnik bersenjata bertempur untuk hari kedua berhampiran hab perdagangan penting itu.

Ratusan orang dilihat beratur bagi memasuki Thailand di pusat pemeriksaan imigresen di Mae Sot, kebanyakannya melarikan diri daripada pertempuran terbaharu untuk menguji penguasaan junta di wilayah itu.

Askar Thailand mengambil tempat di bawah jambatan persahabatan yang menghubungkan bandar itu dengan hab perdagangan Myanmar, Myawaddy, manakala tentera Myanmar kelihatan di seberang 200 meter tanah dan sungai kering yang menjadi sempadan.

Di atasnya, ratusan orang berjalan melintasi jambatan persahabatan dan menuju ke kawasan lebih selamat di Thailand.

Bilangan orang yang melepasi imigresen Thailand dari Myanmar meningkat kepada kira-kira 4,000 sehari sejak beberapa hari kebelakangan ini, kata seorang pegawai imigresen kepada AFP, meningkat daripada kebiasaan sekitar 1,900 orang.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang memperkukuhkan bilangan pegawai imigresen untuk menangani kemungkinan peningkatan ketibaan dari Myanmar dalam beberapa hari akan datang.

Pertempuran terbaharu itu menyusuli siri kekalahan junta tentera yang masih belum pulih daripada kekalahan di utara dan barat Myanmar, menyebabkan beberapa pihak lawan semakin yakin kerajaan tentera itu mampu digulingkan suatu hari nanti.

Warga Myanmar menunggu untuk merentasi sempadan bagi memasuki Thiland, melarikan diri daripada pertempuran terbaharu antara junta tentera dan penberontak etnik Myanmar, di pos kawalan sempadan Tak di Myanmar, dekat wilayah Mae Sot, Thailand. - Foto AFP
Warga Myanmar menunggu untuk merentasi sempadan bagi memasuki Thiland, melarikan diri daripada pertempuran terbaharu antara junta tentera dan penberontak etnik Myanmar, di pos kawalan sempadan Tak di Myanmar, dekat wilayah Mae Sot, Thailand. - Foto AFP

Sabtu lalu, pejuang dari Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) berkata mereka merampas sebuah pangkalan tentera sekitar 10 kilometer (km) ke barat Myawaddy dan lebih 600 tentera, polis dan keluarga mereka menyerah diri.

Pejuang KNU semalam sekali lagi bertempur dengan tentera di sekitar Myawaddy, kata jurucakap KNU, Padoh Saw Taw Nee, yang mengesahkannya kepada AFP.

Setakat ini, junta Myanmar belum menjawab permintaan untuk mengulas mengenai tuntutan KNU berhubung penyerahan diri di pangkalan Thingannyinaung.

Lebih daripada AS$1.1 bilion (RM5.22 bilion) nilai perdagangan melalui Myawaddy dalam tempoh 12 bulan hingga April, menurut Kementerian Perdagangan junta, juga sumber pendapatan penting untuk tentera yang kekurangan wang.

Penduduk memberitahu AFP, pertempuran yang bermula di sekitar Myawaddy pada Selasa menyebabkan orang ramai melarikan diri merentasi sempadan, tetapi pejuang KNU nampaknya tidak memasuki bandar itu.

Di negara jiran Thailand, seorang penduduk Mae Sot memberitahu AFP mereka melihat lapan kenderaan tentera Thailand menuju ke sempadan pada malam Selasa.

Thailand berkongsi sempadan sepanjang 2,400km dengan Myanmar dan pertempuran berlaku ketika Menteri Luar Thailand pada Selasa lalu berkata kerajaan bersedia menerima 100,000 orang yang orang melarikan diri daripada pertempuran .

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, dan pegawai peringkat tinggi Thailand bertemu sebelum ini untuk membincangkan isu sempadan. - AFP

Berita Harian X