Rabu, 10 April 2024 | 6:53pm
Kedutaan Besar Malaysia di Thailand menganjurkan majlis makan tengah hari bersama kakitangannya dan tetamu jemputan di Bangkok hari ini bagi meraikan sambutan Aidilfitri. - Foto BERNAMA
Kedutaan Besar Malaysia di Thailand menganjurkan majlis makan tengah hari bersama kakitangannya dan tetamu jemputan di Bangkok hari ini bagi meraikan sambutan Aidilfitri. - Foto BERNAMA

Rakyat Malaysia di Bangkok turut raikan Aidilfitri

BANGKOK: Kedutaan Besar Malaysia di Thailand hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari bersama kakitangannya dan tetamu jemputan bagi meraikan sambutan Aidilfitri.

Majlis itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bertemu antara satu sama lain dan meraikan bersama rakan-rakan serta ahli keluarga sambil menikmati juadah Malaysia.

Ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan tradisional Raya istimewa, bersosial dengan rakyat Malaysia dan mengukuhkan ikatan silaturahim.

Antara makanan yang dihidangkan adalah nasi tomato tradisional, lemang dan rendang, ayam masak merah, kek lapis Sarawak, sambal sotong kembang, kari kambing dan kuih raya.

Semua hadirin berpakaian tradisional baju Melayu dengan samping dan songkok manakala wanita memakai baju kurung tradisional mereka.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan isteri, Datin Catherina Cherian Samuel yang menghadiri perhimpunan itu turut mengedarkan duit raya kepada kanak-kanak yang menyertai sambutan berkenaan.

Jojie berkata ia merupakan acara tahunan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia di Bangkok yang menyambut Aidilfitri mereka di sini.

"Ini adalah makan tengah hari potluck, iaitu setiap daripada kita, perlu menyumbang hidangan rakyat Malaysia dan merupakan acara yang sangat menarik untuk mencerminkan negara Malaysia yang berbilang agama dan budaya," katanya kepada Bernama hari ini.

Jojie berkata Aidilfitri merupakan masa untuk memupuk perpaduan, keharmonian dan persefahaman dalam kalangan umat Islam.

- BERNAMA

Berita Harian X