Selasa, 9 April 2024 | 11:46pm
Remaja Islam Indonesia menyertai perarakan membawa obor pada malam menjelang sambutan Aidilfitri di Surabaya malam tadi. Indonesia, Singapura, Thailand bersama Malaysia menyambut Aidilfitri pada Rabu. - Foto AFP
Remaja Islam Indonesia menyertai perarakan membawa obor pada malam menjelang sambutan Aidilfitri di Surabaya malam tadi. Indonesia, Singapura, Thailand bersama Malaysia menyambut Aidilfitri pada Rabu. - Foto AFP

Singapura, Indonesia, Thailand sambut Aidilfitri pada Rabu

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Aidilfitri esok.

Di SINGAPURA, pengumuman dibuat Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam satu klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam (MUIS) hari ini.

"Mengikut kiraan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura), anak bulan Syawal berada di atas ufuk Singapura selama 32 minit setelah matahari terbenam petang tadi.

"Oleh yang demikian, suka saya isytiharkan bahawa 1 Syawal 1145H jatuh pada esok, Rabu, bersamaan 10 April 2024," katanya dalam klip video tersebut.

Selain mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada semua umat Islam di Singapura, beliau turut mendoakan semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah sepanjang Ramadan serta mengurniakan keberkatan dan kejayaan pada Aidilfitri ini.

Di JAKARTA, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qouma dalam membuat pengumunan tersebut berkata keputusan dicapai bersama ulama, organisasi Islam dan pakar falak di mesyuarat isbat atau penentuan Hari Raya Aidilfitri, di kementerian di sini, malam ini.

"Berdasarkan kedudukan hisab hilal di wilayah Indonesia yang sudah memenuhi kriteria MABIMS dan laporan hilal yang terlihat, disepakati bahawa 1 Syawal 1445H jatuh pada Rabu, 10 April.

"Mudah-mudahan keputusan ini mewujudkan kebersamaan umat Islam di Indonesia dalam menjalankan ibadah, bermuafakat dan bermasyarakat," kata Yaqut dalam sidang media.

Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan terbesar di republik itu yang mempunyai lebih 270 juta orang dengan sekitar 87 peratus penduduk beragama Islam.

Di BANGKOK, Sheikhul Islam Thailand ke-19, Arun Boonchom mengumumkan menerusi siaran langsung Facebook bahawa umat Islam di Thailand akan menyambut Aidilfitri esok selepas anak bulan kelihatan setelah matahari terbenam hari ini.

Sheikhul Islam adalah pihak berkuasa Islam tertinggi di negara ini.

- BERNAMA

Berita Harian X