Selasa, 9 April 2024 | 4:54pm
Thailand bersedia menerima 100,000 penduduk Myanmar yang melarikan diri dari negara itu, kata Menteri Luar Thailand hari ini, ketika pertempuran berhampiran bandar sempadan semakin memuncak. - Foto fail AFP
Thailand bersedia menerima 100,000 penduduk Myanmar yang melarikan diri dari negara itu, kata Menteri Luar Thailand hari ini, ketika pertempuran berhampiran bandar sempadan semakin memuncak. - Foto fail AFP

Thailand sedia terima 100,000 pelarian Myanmar

BANGKOK: Thailand bersedia menerima 100,000 penduduk Myanmar yang melarikan diri dari negara itu, kata Menteri Luar Thailand hari ini, ketika pertempuran berhampiran bandar sempadan semakin memuncak.

Thailand berkongsi sempadan sepanjang 2,400 kilometer dengan Myanmar, yang terbabit dalam perang saudara sejak junta menggulingkan kerajaan dipilih secara demokrasi pada 2021.

Beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Myanmar menghadapi ancaman paling teruk apabila terpaksa berdepan pertempuran dengan kumpulan anti junta di kawasan yang aman sebelum ini.

"Kami bersiap sedia untuk menempatkan kira-kira 100,000 orang di kawasan selamat di Thailand buat sementara waktu.

"Walaupun tiada pemindahan secara besar-besaran, orang ramai tetap datang ke sempadan," kata Menteri Luar, Parnpree Bahiddha-Nukara.

Thailand tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) selain tidak membezakan antara pelarian dan pendatang lain.

Sejak beberapa hujung minggu lalu, terdapat laporan tempatan tentang berlakunya pertempuran sengit berhampiran bandar Myawaddy di seberang sempadan dari bandar Thai Mae Sot.

Lonjakan berkala dalam pertempuran di sepanjang sempadan Thai-Myanmar yang panjang itu menyaksikan ramai penduduk melarikan diri buat sementara waktu.

Bagaimanapun, Parnpree menekankan sempadan kedua-dua negara itu kekal terbuka manakala aktiviti perdagangan masih berlangsung melalui Mae Sot dan ke Myawaddy.

"Tiada pergaduhan dan aktiviti perdagangan masih diteruskan, walaupun ia semakin berkurangan," katanya sambil mendakwa kadar dagangan menurun kira-kira 30 peratus pada tahun lalu.

Menurut Kementerian Perdagangan junta, Myawaddy ialah lintasan darat ketiga paling sibuk di Myanmar, dengan kira-kira AS$1.1 bilion nilai barangan melalui kawasan itu sepanjang tahun lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Srettha Thavisin dan pegawai peringkat tinggi Thailand bertemu untuk membincangkan isu sempadan.

"Perdana Menteri bimbang jika keadaan menjadi lebih buruk," kata Parnpree.

Ia berikutan kerajaan Thai berkata, ia sudah membenarkan permintaan daripada junta untuk mendaratkan tiga penerbangan `istimewa' untuk menghantar pulang orang.

Sejak 1980an kerajaan Thailand membenarkan puluhan ribu yang melarikan diri dari Myanmar untuk tinggal di penempatan tidak rasmi berhampiran sempadan.

- AFP

Berita Harian X