Isnin, 8 April 2024 | 11:51pm
Sebuah bot di sebelah Myanmar, di sungai Moei seperti yang dilihat dari daerah Mae Sot, Thailand, di wilayah Tak. - Foto AFP
Sebuah bot di sebelah Myanmar, di sungai Moei seperti yang dilihat dari daerah Mae Sot, Thailand, di wilayah Tak. - Foto AFP

Junta Myanmar minta 'penerbangan khas' dari sempadan Thailand

BANGKOK: Junta Myanmar meminta kebenaran untuk 'penerbangan khas' mendarat di Thailand bagi menghantar pulang warga Myanmar, menurut Kementerian Luar Thailand berikutan pertempuran di hab sempadan penting berhampiran.

Konflik sivil Myanmar meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pasukan menentang junta tentera, yang merampas kuasa daripada kerajaan dipilih secara demokratik pada 2021, meraih kemenangan di seluruh negara.

Kawasan Myanmar yang sebelum ini tidak disentuh oleh pertempuran sedang mengalami konflik, dengan penganalisis berkata peningkatan itu adalah ancaman terbesar kepada rejim junta Myanmar.

Pada hujung minggu, terdapat laporan tempatan mengenai pertempuran sengit oleh kumpulan anti-junta berhampiran bandar Myawaddy, di seberang sempadan dari bandar Thai Mae Sot.

Menurut Kementerian Perdagangan junta, Myawaddy ialah lintasan darat ketiga paling sibuk, dengan kira-kira AS$1.1 bilion (RM5.2 bilion) barangan melalui sepanjang tahun lalu.

Kementerian Luar Negeri mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa sebuah penerbangan dari Myanmar telah mendarat di lapangan terbang Mae Sot semalam, kembali pada hari yang sama, selepas permintaan diluluskan atas 'alasan kemanusiaan'.

Ia berkata, kedutaan Myanmar di Bangkok meminta kebenaran pada 6 April untuk tiga 'penerbangan khas' Yangon-Mae Sot untuk mengangkut 'penumpang dan kargo', dalam tempoh tiga hari akan datang.

Bagaimanapun, jurucakap kementerian enggan memberikan butiran lanjut mengenai penerbangan itu.

Berikutan penerbangan semalam, perjalanan yang selebihnya dibatalkan, tetapi tiada sebarang butiran lanjut diberikan.

Thailand memantau dengan teliti keadaan di sempadan Thailand-Myanmar, dan bersedia untuk mengambil tindakan yang perlu untuk mengekalkan keamanan, ketenteraman serta keselamatan rakyat.

Dalam video yang diambil oleh media tempatan, askar Thailand dilihat berkawal di sepanjang sempadan, beberapa berada di dalam kereta perisai, dengan khemah dan tempat perlindungan sementara dilihat dalam jarak yang dekat.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, yang sebelum ini ditanya mengenai penerbangan itu, berkata ia bukan mengenai pengangkutan senjata atau anggota tentera.

"Pesawat itu hanya membawa pekerja awam," katanya. - AFP

Berita Harian X