Sabtu, 6 April 2024 | 10:46pm
Keadaan darurat berhubung kekurangan air untuk kegunaan domestik diumumkan pada 6 April untuk daerah Tan Phu Dong. - Foto AFP
Keadaan darurat berhubung kekurangan air untuk kegunaan domestik diumumkan pada 6 April untuk daerah Tan Phu Dong. - Foto AFP

Wilayah Vietnam diisytihar darurat akibat kemarau

HANOI: Beribu-ribu orang di Vietnam mengalami kekurangan air tawar yang 'teruk' kerana kemarau dan salinisasi, mendorong pihak berkuasanya mengisytiharkan darurat hari ini.

Gelombang haba yang berlaku selama berminggu-minggu membawa kepada kemarau dan penerobosan garam ke kawasan wilayah Tien Giang, 60 kilometer (km) di selatan hab perniagaan Ho Chi Minh City.

Kawasan Tan Phu Dong di wilayah itu dengan garisan pantai sepanjang 12km di sepanjang Laut China Selatan, bersilang dengan laluan air terjejas teruk.

Salinasi iaitu penerobosan air masin dari laut, menjejaskan tanaman dan beribu-ribu isi rumah dalam kalangan 43,000 orang yang tinggal di kawasan itu, kata Agensi Berita Vietnam yang dikawal negara.

Katanya, pengisytiharan darurat disebabkan kekurangan air untuk kegunaan domestik diumumkan hari ini untuk daerah Tan Phu Dong.

Agensi berkaitan diminta 'mengangkut air tawar ke kolam dan takungan di daerah ini untuk mengekalkan bekalan air tawar kepada penduduk di sana', kata laporan itu.

Ketika musim kemarau yang berpanjangan ini dan penerobosan garam yang lebih dalam di hulu sungai Tien membuatkan komunitinya dipenuhi aliran air masin.

Delta Mekong menghadapi penerobosan air masin setiap tahun, tetapi cuaca panas yang lebih sengit dan peningkatan paras laut, membuatkan kedua-duanya didorong oleh perubahan iklim sekali gus meningkatkan risiko.

Penyelidikan yang diterbitkan bulan lalu berkata delta Mekong Vietnam, yang menghasilkan sumber makanan dan menjadi punca pencarian berpuluh-puluh juta orang, menghadapi kerugian hampir AS$3 bilion (RM14.23) setahun akibat kemerosotan hasil tanaman apabila lebih banyak air masin meresap ke dalam tanah pertanian.

Kira-kira 80,000 hektar ladang padi dan buah-buahan berisiko terjejas akibat salinasi, menurut kajian dari Institut Sains Sumber Air di bawah Kementerian Alam Sekitar.

Pada 2016, yang menyaksikan kemarau terburuk dalam 100 tahun dengan 160,000 hektar tanah terjejas akibat salinasi. - AFP

Berita Harian X