Jumaat, 29 March 2024 | 10:06pm
(Gambar fail) Foto hiasan - AFP
(Gambar fail) Foto hiasan - AFP

Lebih setengah juta pengembara lalui pusat pemeriksaan darat Singapura semalam

SINGAPURA: Kira-kira 510,000 pengembara melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands serta Tuas di Singapura, semalam, menjelang cuti panjang hujung minggu sempena Good Friday.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura dalam hantaran menerusi Facebook, hari ini, memaklumkan ia adalah jumlah tertinggi pengembara menggunakan pusat pemeriksaan darat berkenaan dalam sehari, setakat ini.

Menurutnya, lalu lintas dijangka kekal sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan darat itu, hari ini dan esok.

Malah, katanya, lalu lintas juga dijangka sesak pada Ahad ini apabila pengembara pulang selepas keluar dari Singapura.

"Justeru, pengembara yang menggunakan pusat pemeriksaan darat terbabit dinasihatkan mengambil kira masa menunggu untuk pelepasan imigresen," katanya.

ICA sekali gus berharap pengembara memahami dan memberikan kerjasama dengan bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas, memandu mengikut lorong dan bekerjasama dengan petugas di lokasi, apabila melalui pusat pemeriksaan berkenaan nanti.

Berita Harian X