Jumaat, 29 March 2024 | 4:29pm
Kira-kira 1.5 tan produk segar dan makanan diproses yang diimport secara haram dari Malaysia, dirampas SFA dalam satu operasi bersama ICA pada awal minggu ini. - Foto ihsan SFA
Kira-kira 1.5 tan produk segar dan makanan diproses yang diimport secara haram dari Malaysia, dirampas SFA dalam satu operasi bersama ICA pada awal minggu ini. - Foto ihsan SFA

Singapura rampas 1.5 tan produk segar, makanan proses dari Malaysia

SINGAPURA: Kira-kira 1.5 tan produk segar serta makanan diproses yang diimport secara haram dari Malaysia, dirampas Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu operasi bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada awal minggu ini.

Menurut SFA dan ICA dalam satu kenyataan bersama, operasi dari 25 hingga 26 Mac lalu itu dijalankan ke atas trak penghantaran sayur-sayuran yang biasanya mengangkut hasil untuk diedarkan terus kepada peruncit serta pelanggan yang memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Ketika operasi itu, pegawai ICA merujuk dua trak ke SFA untuk pemeriksaan lanjut kerana terdapat percanggahan dalam konsainan yang diangkut.

"SFA kemudian menemukan 1.5 tan hasil tidak diisytiharkan seperti bayam, cili padi, daun bawang, terung, bawang putih dikupas dan kobis potong yang diimport tiga pengimport, dalam dua trak itu. Semua hasil import haram terbabit telah dirampas," menurut agensi berkenaan.

Di Singapura, makanan yang diimport ke negara itu mesti memenuhi keperluan SFA.

Buah-buahan serta sayur-sayuran hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen, manakala setiap konsainan pula mesti diisytiharkan dan disertakan dengan permit import yang sah.

Mereka yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram, berdepan denda maksimum S$10,000 dan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran diproses secara haram pula boleh didenda tidak lebih S$1,000, jika sabit kesalahan, dan bagi sabitan berikutnya, didenda tidak lebih S$2,000. – BERNAMA

Berita Harian X