Khamis, 28 March 2024 | 9:52pm
Prabowo Subianto dan gandingannya, Gibran Rakabuming Raka diumumkan sebagai pemenang pilihan raya Indonesia minggu lalu. - Foto AGENSI
Prabowo Subianto dan gandingannya, Gibran Rakabuming Raka diumumkan sebagai pemenang pilihan raya Indonesia minggu lalu. - Foto AGENSI

Tiada campur tangan dalam pilihan raya Indonesia

JAKARTA: Pasukan undang-undang calon presiden Indonesia Prabowo Subianto memberitahu Mahkamah Perlembagaan hari ini bahawa tidak ada campur tangan dalam pilihan raya bulan lalu, dan kes yang dibawa oleh lawannya untuk membatalkan kelayakannya harus ditolak.

Calon saingan Ganjar Pranowo dan Anies Baswedan semalam mencabar kemenangan gemilang Prabowo, meminta mahkamah mengarahkan undian baharu, dan membatalkan kelayakan kedua-dua Prabowo dan gandingan naib presidennya, Gibran Rakabuming Raka, anak kepada Presiden Joko Widodo.

Otto Hasibuan, salah seorang peguam dalam pasukan undang-undang Prabowo, memberitahu mahkamah tidak ada pelanggaran atau campur tangan presiden atau institusi negeri untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya 14 Februari.

"Gesaan ini untuk pemilihan semula dan kehilangan kelayakan, berpotensi mencetuskan masalah lain yang akan membawa kepada krisis perlembagaan," kata Otto kepada mahkamah.

Jokowi, sebagai presiden yang dikenali ramai, telah dituduh memihak kepada musuh lamanya Prabowo dan anaknya Gibran, yang diumumkan sebagai pemenang pilihan raya oleh badan tinjauan nasional minggu lalu.

Gibran dapat bekerjasama dengan Prabowo selepas Mahkamah Perlembagaan mengeluarkan keputusan saat akhir menukar kriteria kelayakan.

Ketika keputusan dikeluarkan, mahkamah diketuai oleh abang ipar Jokowi, Anwar Usman.

Anwar telah dihalang daripada mempengerusikan pertikaian pilihan raya sejak panel etika mendapati beliau bersalah atas pelanggaran peraturan.

Lebih 300 ahli akademik dan aktivis hari ini mengemukakan pendapat undang-undang kepada mahkamah dengan alasan pencalonan Gibran sebagai timbalan presiden bermasalah.

Peguam Prabowo berhujah pencalonan Gibran adalah sah dan tidak membabitkan nepotisme.

Sambil menyifatkan dakwaan salah laku yang dibuat oleh calon yang kalah sebagai aduan pentadbiran, pasukan undang-undang Prabowo berkata, perkara seperti itu harus dikendalikan oleh badan pemantau pilihan raya negara dan bukannya mahkamah.

Cabaran terhadap keputusan pilihan raya bukanlah sesuatu yang luar biasa di Indonesia dan mahkamah dijangka membuat keputusan pada 22 April.

Pemenang pilihan raya presiden akan diumumkan secara rasmi pada Oktober depan. - REUTERS

Berita Harian X