Khamis, 28 March 2024 | 6:51pm
Jakrapob Penkair mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi Bangkok pada 28 Mac dan ditahan polis. - Foto AFP
Jakrapob Penkair mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi Bangkok pada 28 Mac dan ditahan polis. - Foto AFP

Pembangkang 'Baju Merah' Thai ditahan selepas pulang dari buangan

BANGKOK: Seorang penyokong "Baju Merah" Thai yang terkenal ditahan sebaik tiba ke negara itu pada Khamis selepas 15 tahun dalam buangan.

Jakrapob Penkair yang juga adalah jurucakap kerajaan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, menjadi ahli Baju Merah selepas Thaksin digulingkan oleh rampasan kuasa tentera pada 2006.

Jakrapob menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk memiliki senjata secara haram dan melanggar undang-undang kerana memfitnah kerajaan.

Jakrapob melarikan diri dari Thailand pada 2009 untuk tinggal dalam buangan sendiri.

"Beliau akan melalui proses undang-undang, dan kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan," kata peguamnya, Chokchai Angkaew kepada pemberita.

Sebelum terbang kembali ke Thailand, Jakrapob menyiarkan video dirinya bercakap kepada peminat.

"Saya telah pergi selama 15 tahun, kini saya akan kembali ke Thailand dan saya berharap untuk berdepan semua tuduhan undang-undang.

"Saya harap saya dapat kembali menyumbang kepada kerajaan," katanya.

Kepulangan Jakrapob hanya beberapa bulan selepas jutawan bekas Perdana Menteri, Thaksin pulang ke tanah air selepas lebih sedekad dalam buangan.

Thaksin serta-merta dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, tetapi hukuman penjara lapan tahunnya tidak lama kemudian dipendekkan kepada setahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn.

Bulan lalu, lelaki berusia 74 tahun itu dibenarkan dibebaskan awal kerana usianya dan kesihatannya yang lemah, dan kini menetap di rumahnya di Bangkok. - AFP

Berita Harian X