Rabu, 27 March 2024 | 6:31pm
Berpuluh-puluh pelarian Rohingya meminta bantuan selepas bot mereka yang terbalik. - Foto REUTERS
Berpuluh-puluh pelarian Rohingya meminta bantuan selepas bot mereka yang terbalik. - Foto REUTERS

Penduduk Aceh lakukan protes tempatan terhadap Rohingya yang diselamatkan

JAKARTA: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan puluhan pelarian Rohingya yang kini berada di pusat perlindungan sementara di Indonesia dipaksa keluar akibat protes dilakukan penduduk tempatan Aceh.

Sebelum ini 75 etnik Rohingya itu diselamatkan selepas bot mereka terbalik di perairan Indonesia, minggu lalu.

Penduduk tempatan dilaporkan menolak bot yang membawa Rohingya kembali ke laut selain cuba menyerbu tempat perlindungan sementara mereka sejak beberapa bulan lalu.

Pegawai sekutu perlindungan UNHCR, Faisal Rahman, berkata mangsa yang dipaksa keluar kemudiannya dibawa ke pejabat ketua kerajaan tempatan di Aceh Barat.

"Mereka dipindahkan ke halaman belakang pejabat tempatan," katanya.

Pihak berkuasa pada Khamis lalu menyelamatkan 69 pelarian Rohingya yang ditemui selepas berpaut pada bot mereka yang terbalik selama lebih sehari.

Enam yang lain diselamatkan oleh nelayan sehari sebelumnya.

Sekurang-kurangnya 11 Rohingya ditemui mati di laut selepas penyelamat menghentikan pencarian pada Jumaat, walaupun beberapa mangsa yang terselamat berkata lebih 150 orang berada di atas bot itu ketika ia terbalik.

Mereka yang terselamat diberi perlindungan di sebuah bangunan lama Palang Merah di Kabupaten Aceh Barat.

Penduduk tempatan bagaimanapun mahu mereka semua diusir.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Lalu Muhamad Iqbal, berkata Jakarta memberi perlindungan sementara kepada Rohingya hanya atas sebab kemanusiaan.

Beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian PBB sebaliknya yang sepatutnya diwajibkan memberi perlindungan kekal.

Katanya, Indonesia tidak menandatangani konvensyen itu.

Menurut UNHCR, dari pertengahan November hingga akhir Januari lalu, 1,752 pelarian Rohingya mendarat di pantai Indonesia.

Disember lalu, ratusan pelajar di Aceh memaksa pemindahan lebih seratus pelarian Rohingya dengan menyerbu lokasi penempatan sementara mereka.

Dalam insiden berasingan, pasukan polis menghalang penduduk tempatan daripada menyerbu pusat perlindungan Rohingya di pulau Sabang Aceh.

Ramai orang Aceh bersimpati dengan nasib saudara seIslam mereka, namun ada juga yang hilang sabar berikutan mendakwa etnik Rohingya berkelakuan anti-sosial. - AFP

Berita Harian X