Selasa, 26 March 2024 | 2:34pm
Presidential candidate and Indonesia�s Defence Minister Prabowo Subianto (L) and vice presidential candidate Gibran Rakabuming Raka, Indonesian President Joko Widodo's son and current Surakarta City mayor, attend the last vice presidential election debate at the Jakarta Convention Center (JCC) in Jakarta on January 21, 2024. (Photo by Yasuyoshi CHIBA / AFP)
Presidential candidate and Indonesia�s Defence Minister Prabowo Subianto (L) and vice presidential candidate Gibran Rakabuming Raka, Indonesian President Joko Widodo's son and current Surakarta City mayor, attend the last vice presidential election debate at the Jakarta Convention Center (JCC) in Jakarta on January 21, 2024. (Photo by Yasuyoshi CHIBA / AFP)

Prabowo cuba pujuk parti lawan sertai gabungan pemerintahnya

JAKARTA: Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, giat menghubungi parti politik yang menyokong bekas pesaingnya dalam usaha membina pakatan pemerintah yang besar lagi kukuh.

Menurut pengiraan akhir Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), Prabowo dan pasangannya, Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi) memenangi perebutan jawatan presiden dan naib presiden.

Gandingan mereka memperoleh 96.2 juta undi, atau 58.6 peratus daripada undi yang sah, sekali gus jauh meninggalkan pesaing terdekat.

Lawan mereka, pasangan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar serta pasangan Ganjar Pranowo dan Mahfud MD masing-masing ketinggalan dengan 41 juta undi dan 27 juta undi.

Keputusan rasmi pemilihan Presiden Indonesia itu sudah diumumkan pada pada 20 Mac, lalu dan presiden baharu dijadual mengadakan majlis angkat sumpah jawatan pada 20 Oktober di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.

Timbalan pengerusi pasukan kempen Prabowo, Ahmad Muzani berkata, Prabowo sedang berusaha membina gabungan pemerintah yang terdiri daripada majoriti besar ahli Parlimen dalam usahanya memastikan pemerintahan yang stabil.

"Kami akan meneruskan usaha untuk membentuk gabungan besar dengan pelbagai parti politik di Senayan (Dewan Parlimen Indonesia).

"Komunikasi sedemikian kini sedang dijalankan," katanya yang juga setiausaha agung Parti Gerindra pimpinan Prabowo.

Beliau juga berkata, rundingan telah berjalan 'positif', tetapi tidak memberikan sebarang butiran mengenai pihak mana yang dihubungi oleh kem Prabowo, lapor The Jakarta Post.

Walaupun meraih kemenangan besar sebagai presiden, Prabowo gagal meraih kemenangan bersih dalam pilihan raya perundangan.

Parti Gerindra peroleh jumlah undian ketiga tertinggi, ketinggalan di belakang pesaingnya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan sekutunya, Parti Golkar yang masing-masing di tempat pertama dan kedua.

Empat parti yang menyokong Prabowo iaitu Gerindra, Golkar, Parti Demokrat dan Parti Amanat Nasional (PAN), hanya memperoleh kira-kira 43 peratus daripada keseluruhan 580 kerusi Dewan Rakyat.

Keadaan ini berpotensi menimbulkan cabaran kepada bakal presiden dalam melaksanakan dasar negara pada masa depan.

Penganalisis percaya Prabowo perlu menarik satu atau dua parti lain daripada kem yang bertelagah ke dalam gabungannya untuk mengukuhkan kedudukan dan membenarkan pentadbirannya memerintah secara berkesan dengan majoriti dalam Parlimen. - AGENSI

Berita Harian X