Isnin, 25 March 2024 | 4:32pm
Anggota Badan Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS) membawa mayat yang ditemui dalam beg mayat semasa operasi mencari pelarian Rohingya yang hilang selepas 69 pelarian diselamatkan dari bot mereka yang terbalik dua hari lalu di laut di Calang, Aceh Barat. - Foto AFP
Anggota Badan Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS) membawa mayat yang ditemui dalam beg mayat semasa operasi mencari pelarian Rohingya yang hilang selepas 69 pelarian diselamatkan dari bot mereka yang terbalik dua hari lalu di laut di Calang, Aceh Barat. - Foto AFP

5 Rohingya ditemui mati selepas bot karam - PBB

MEULABOH: Sekurang-kurangnya lima mayat pelarian Rohingya ditemui di pesisir pantai Barat Indonesia selepas bot yang dipercayai membawa kira-kira 150 orang, karam minggu lalu.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, penyelamat Indonesia membatalkan misi pencarian pelarian Rohingya selepas 75 orang diselamatkan.

Bagaimanapun, laporan daripada mangsa yang terselamat memberitahu puluhan orang dihanyutkan apabila bot yang dinaiki dan sebuah lagi terbalik beberapa hari sebelumnya.

Sekutu Perlindungan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Faisal Rahman berkata, pihak berkuasa tempatan mengesahkan empat mayat ditemui sehari sebelumnya.

Jurucakap UNHCR Indonesia, Mitra Suryono berkata empat mayat ditemui di pesisir pantai daerah Aceh Jaya, Sumatera dan satu di Aceh Barat, di mana kejadian itu berlaku 16 batu nautika (30 kilometer) dari pantai.

Timbalan Ketua Polis Aceh Barat, Iswahyudi berkata, mayat kelima adalah lelaki yang ditemui pada malam semalam oleh nelayan.

Khamis lalu, pihak berkuasa menyelamatkan 69 Rohingya yang hanyut di laut selama berminggu-minggu sebelum bot itu terbalik, dengan ramai yang ditemui berpaut pada badan kapal.

Manakala, enam lain diselamatkan oleh nelayan pada hari Rabu.

Dari pertengahan November hingga akhir Januari, sebanyak 1,752 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mendarat di wilayah Aceh dan Sumatera Utara, Indonesia.

Agensi PBB itu berkata kemasukan terbesar ke negara majoriti Islam itu sejak 2015, didorong oleh keadaan yang semakin teruk di kem-kem di Bangladesh dan ancaman keganasan yang berterusan di Myanmar. - AFP

Berita Harian X