Isnin, 25 March 2024 | 2:51pm
Kapal Pengawal Pantai China (kanan) melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal disewa tentera Filipina, Unaizah May 4 (kiri), untuk menghantar bekalan ke pos kawalan tentera di Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto AFP
Kapal Pengawal Pantai China (kanan) melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal disewa tentera Filipina, Unaizah May 4 (kiri), untuk menghantar bekalan ke pos kawalan tentera di Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto AFP

Filipina cabar China bawa tuntutan Laut China Selatan ke timbang tara

MANILA: Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro, hari ini mencabar China membawa isu tuntutan kedaulatannya di Laut China Selatan kepada timbang tara antarabangsa dan menegaskan Manila tidak akan berganjak dengan pendiriannya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas ketegangan terbaru yang memuncak antara kapal China dan Filipina pada hujung minggu lalu.

"Jika China tidak takut untuk menyatakan tuntutannya kepada dunia, maka mengapa tidak bawa ke timbang tara, di bawah undang-undang antarabangsa?" soal beliau.

Filipina hari ini berkata, pihaknya sudah memanggil utusan China berhubung 'tindakan agresif' oleh Pengawal Pantai China (CCG) dan kapal Militia Maritim China berhampiran terumbu di luar pantai negara Asia Tenggara itu.

Beijing dan Manila mempunyai sejarah panjang pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan dan terdapat konfrontasi berulang antara kapal mereka berhampiran terumbu yang dipertikaikan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

pertembungan terbaharu berlaku Sabtu lalu berhampiran Beting Thomas Kedua di Kepulauan Spratly ketika misi kapal bantuan Filipina untuk membawa bekalan kepada tenteranya yang berkawal di BRP Sierra Madre, di Laut Filipina Barat.

Filipina berkata, kapal CCG menyekat kapal bekalannya dan merosakkannya dengan tembakan meriam air, menyebabkan tiga anggota tentera tercedera.

Namun, CCG mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan apa yang dilakukan bukan saja mengikuti peraturan yang sah, malah mereka dibenarkan memintas dan mengusir kapal asing yang cuba menceroboh secara paksa ke perairan China.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri Filipina hari ini menyampaikan bantahan keras terhadap tindakan agresif dilakukan kapal CCG dan Militia Maritim China.

"Mereka melanggar undang-undang antarabangsa kerana menyerang misi penggiliran dan pembekalan semula yang dilakukan Filipina di Beting Ayungin," katanya yang menggunakan nama Filipina untuk Beting Thomas Kedua.

Difahamkan, Kedutaan Filipina di Beijing turut membuat bantahan yang sama kepada Kementerian Luar China, antara lain, menekankan bahawa China tidak mempunyai hak untuk berada di Beting Ayungin.

"Filipina menuntut kapal China meninggalkan kawasan Ayungin Shoal dan zon ekonomi eksklusif Filipina dengan segera," kata Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri.

Ia adalah lokasi yang sama di mana kapal China melepaskan tembakan meriam air dan bertembung dengan kapal Filipina, mengulangi pertembungan sama sejak beberapa bulan kebelakangan ini. - REUTERS

Berita Harian X