Ahad, 24 March 2024 | 3:27am
Anggota penyelamat membawa mayat pelarian Rohingya yang berjaya dievakuasi, semalam. - FOTO AFP
Anggota penyelamat membawa mayat pelarian Rohingya yang berjaya dievakuasi, semalam. - FOTO AFP

Bot terbalik: 2 mayat pelarian Rohingya berjaya dievakuasi

ACEH JAYA: Dua mayat pelarian Rohingya berjaya dievakuasi, manakala beberapa lagi dikesan di laut, semalam, menurut anggota penyelamat tempatan.

Ia susulan insiden sebuah bot kayu yang dipercayai membawa kira-kira 150 orang, terbalik di luar pantai wilayah Aceh pada Rabu lalu menyebabkan ramai mangsa terkorban atau dilaporkan hilang.

Pasukan penyelamat Indonesia menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat lalu.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa lebih daripada separuh dozen mayat dikesan oleh nelayan, semalam.

"Bagaimanapun, hanya dua mayat berjaya dievakuasi. Kedua-dua mangsa adalah wanita.

"Mereka disahkan adalah etnik Rohingya. Berdasarkan maklumat nelayan, terdapat beberapa lagi mangsa lemas dikesan," kata Ketua Operasi SAR Aceh Jaya, Mirza Safrinadi, kepada pemberita.

Sementara itu, Sekutu Perlindungan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Faisal Rahman, memberitahu AFP bahawa usaha mengevakuasi mayat lain pula masih dalam proses. - AFP

Berita Harian X