Ahad, 24 March 2024 | 2:09am
(Dari kiri) Prabowo, Ganjar dan Anies. - FOTO AFP
(Dari kiri) Prabowo, Ganjar dan Anies. - FOTO AFP

Ganjar failkan aduan di mahkamah, gesa pemilihan Presiden Indonesia diadakan semula

JAKARTA: Pasukan undang-undang kepada calon yang tewas dalam pemilihan Presiden Indonesia, baru-baru ini, Ganjar Pranowo, memfailkan aduan di Mahkamah Perlembagaan, semalam.

Ia menggesa pemilihan baharu diadakan semula, sekali gus menidakkan kemenangan Prabowo Subianto yang disahkan dalam pengumuman keputusan rasmi sebelum ini.

Ganjar yang juga bekas Gabenor Jawa Tengah dan disokong oleh parti pemerintah, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), memperoleh 16 peratus undi pada pilihan raya bulan lalu.

Pada pemilihan itu, Prabowo membolot hampir 60 peratus undi, manakala bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan pula meraih 25 undi.

Prabowo dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Indonesia pada Oktober depan.

Peguam dalam pasukan undang-undang kepada Ganjar, Todung Mulya Lubis, berkata tuntutan supaya kemenangan Prabowo dibatalkan itu dibuat atas alasan pendaftaran beliau didakwa melanggar peruntukan undang-undang dan etika, justeru pilihan raya perlu diadakan semula.

Todung berkata, pilihan raya itu didakwa dicemari dengan nepotisme yang mengakibatkan penyalahgunaan kuasa.

Tahun lalu, Mahkamah Perlembagaan dalam satu keputusan berkait perubahan peraturan kelayakan, telah membenarkan Gibran Rakabuming Raka untuk menjadi rakan gandingan Prabowo pada pilihan raya berkenaan.

Gibran adalah anak kepada Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang bakal menamatkan penggal pemerintahannya, manakala adik ipar Jokowi merupakan Ketua Hakim ketika keputusan mahkamah itu dibuat.

Pasukan undang-undang kepada Anies turut memfailkan kes, Khamis lalu, bagi memohon perintah mahkamah supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengecualikan penyertaan Gibran.

Ia mendakwa pembabitan Gibran pada saat akhir dalam pilihan raya pada Februari lalu telah mempengaruhi pengundian secara tidak adil. - REUTERS

Berita Harian X