Sabtu, 23 March 2024 | 1:34pm
Gambar tentera Filipina menunjukkan kapal Pengawal Pantai China (CCG) (dua dari kanan) dan sebuah lagi kapal dikenal pasti sebagai kapal Militia Maritim China (kiri dan kanan) mengelilingi kapal Pengawal Pantai Filipina (PCG), BRP Cabra (dua dari kanan) ketika misi membawa bekalan ke Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto AFP

Kapal China didakwa tembak kapal Filipina guna meriam air

MANILA: Filipina menuduh kapal pengawal pantai China menyekat dan menembak meriam air ke arah kapal bekalan Filipina pagi tadi di kawasan terpencil dan terumbu di Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Tentera Filipina berkata, serangan itu berlaku di Beting Thomas Kedua, di mana kapal China menembak meriam air dan bersemuka dengan kapal Filipina, dalam pertembungan yang sudah beberapa kali berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebuah bot awam Filipina diupah untuk membawa semula bekalan kepada tentera pada minggu ini dan diiringi dua kapal tentera laut serta dua kapal pengawal pantai Filipina.

Pengawal Pantai Filipina (FCG) dalam kenyataan berasingan, berkata sebuah kapal mereka 'dihalang dan dikelilingi' sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) serta dua kapal militia maritim China.

Tentera Filipina mengeluarkan klip video yang menunjukkan sebuah kapal putih berulang kali menyembur kapal lain yang belayar bersebelahannya dengan meriam air.

Ia juga mengeluarkan klip lain yang menunjukkan sebuah kapal putih bertanda 'CGG' melintasi haluan kapal kelabu yang dikenal pasti sebagai bot bekalan Filipina, Unaizah May 4 (UM4).

Gambar tentera Filipina menunjukkan kapal dikenal pasti sebagai Pengawal Pantai China (CCG) (bawah, kanan) melepaskan tembakan meriam air terhadap bot awam disewa khas tentera Filipina, Unaizah May 4, ketika operasi menghantar bekalan ke ke Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto AFP

Tentera berkata, video itu diambil pada pagi tadi ketika UM4 dalam perjalanan ke Beting Ayungin, nama Filipina untuk Beting Thomas Kedua, kawasan kecil dikawal unit kecil tentera Filipina, yang turut dituntut Beijing.

"Bot bekalan UM4 mengalami kerosakan teruk kira-kira jam 8.52 (pagi) akibat tembakan meriam air berterusan dari kapal CCG," kata tentera dalam satu kenyataan, tanpa menerangkan jenis kerosakan atau sama ada terdapat mangsa yang terkorban.

Sementara itu, CCG, hari ini berkata ia mengambil langkah kawalan terhadap kapal Filipina di perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, yang dikecam pengawal pantai Filipina sebagai tindakan 'tidak bertanggungjawab dan provokatif'.

Jurucakapnya, Gan Yu, berkata Filipina memungkiri janji untuk mengalihkan kapal dan menghantar dua kapal pengawal pantai serta sebuah kapal bekalan ke perairan Beting Thomas Kedua, 18 hari selepas pusingan terakhir bekalan.

China tidak menyatakan siapa yang menjanjikan pengalihan kapal itu atau bila janji itu dibuat, manakala Kementerian Pertahanan Filipina, Kementerian Luar dan pemimpin tentera berulang kali menyatakan tidak ada janji sedemikian.

Pada Sabtu, Yu berkata, Filipina melanggar dan mencetuskan kekacauan serta dengan sengaja menjejaskan keamanan dan kestabilan Laut China Selatan.

Gambar tentera Filipina menunjukkan kapal dikenal pasti sebagai Pengawal Pantai China (CCG) (atas) melepaskan tembakan meriam air terhadap bot awam disewa khas tentera Filipina, Unaizah May 4, ketika operasi menghantar bekalan ke ke Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto AFP

Katanya, kapal Filipina tidak mengendahkan amaran berulang dan kawalan laluan China, dan memaksa mereka masuk.

Yu berkata, pengawal pantai China melaksanakan peraturan mengikut undang-undang dan mengendalikan perkara dengan cara yang munasabah, sah serta profesional.

Beting berkenaan adalah pangkalan kepada sebilangan kecil tentera Filipina yang ditempatkan di atas sebuah kapal perang yang terkandas, diletakkan Manila di sana pada 1999 untuk mengukuhkan tuntutan kedaulatannya.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk Beting Thomas Kedua dan mengerahkan kapal untuk meronda pulau yang dipertikaikan itu.

Keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 mendapati tuntutan menyeluruh China tidak mempunyai asas undang-undang, namun tidak dipedulikan Beijing.

Pihak China juga tidak menghiraukan Konvensyen mengenai Peraturan Antarabangsa untuk Mencegah Perlanggaran di Laut (COLREGS). - REUTERS

Berita Harian X