Jumaat, 22 March 2024 | 10:12pm
Seorang pegawai polis berjalan melepasi kedai serbaneka 7-11 di wilayah selatan Thailand, Pattani pada 3 November 2016, selepas ia rosak dalam pengeboman malam sebelumnya. - Foto AFP
Seorang pegawai polis berjalan melepasi kedai serbaneka 7-11 di wilayah selatan Thailand, Pattani pada 3 November 2016, selepas ia rosak dalam pengeboman malam sebelumnya. - Foto AFP

Serangan bakar jahat di tiga wilayah selatan Thailand

PATTANI: Pattani, Yala dan Narathiwat menjadi sasaran satu gelombang serangan bakar jahat dan bom awal pagi tadi.

Komander Wilayah Tentera Darat Keempat, Lt Jen Santi Sakuntanark, berkata siasatan mendapati beberapa kumpulan individu melakukan serangan bakar jahat yang diselaraskan di pelbagai lokasi di tiga wilayah menyasarkan kedai serbaneka 7-Eleven, kedai-kedai, menara sel, kamera litar tertutup (CCTV) dan kenderaan.

"Sekurang-kurangnya 30 serangan termasuk bom dan bakar jahat dilaporkan di tiga wilayah selatan awal pagi Jumaat.

"Siasatan mendapati bakar jahat itu adalah bagi menimbulkan huru-hara di wilayah selatan dalam Ramadan," katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang meneliti rakaman CCTV untuk memburu suspek.

"Pihak berkuasa telah mengadakan tempat pemeriksaan di tiga wilayah itu untuk memburu suspek dan bagi mengelak kejadian sama daripada berulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mayo, Kol Polis Somsak Tanchareun, berkata satu letupan bom dilaporkan berlaku di sebuah stesen minyak yang sedang dalam pembinaan dan seorang wanita warga Myanmar maut.

"Sejumlah 16 serangan bakar jahat dilaporkan di Pattani," katanya.

Di Yala, Ketua Polis, Mej Jen Polis Seksan Churungsarit, berkata sejumlah 11 serangan dilaporkan di wilayah itu.

Antaranya ialah kedai perabot dan elektrik di Bannang Sata, bersama sebatang tiang telefon dan elektrik di Daerah Yaha, dibakar.

"Tayar kereta juga dibakar," katanya.

Di Narathiwat , lima serangan bakar jahat dilaporkan menyasarkan forklift, "road grader", kilang papan dan CCTV. - BERNAMA

Berita Harian X