Jumaat, 22 March 2024 | 7:05pm
Bahagian selatan Thailand telah menyaksikan pemberontakan selama beberapa dekad, dengan lebih 7,300 orang terbunuh. - Foto AFP
Bahagian selatan Thailand telah menyaksikan pemberontakan selama beberapa dekad, dengan lebih 7,300 orang terbunuh. - Foto AFP

40 lokasi di Selatan Thailand diserang pemberontak

BANGKOK: Kira-kira 40 lokasi di sekitar Selatan Thailand diserang pemberontak dengan membakar kedai, kereta dan tiang elektrik, dalam kejadian serentak awal pagi tadi, menurut pihak berkuasa.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terkorban dalam kejadian berkenaan yang berlaku di empat wilayah termasuk Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.

Kawasan di sepanjang sempadan Malaysia itu menyaksikan serangan pemberontakan yang berlaku sejak beberapa dekad lalu, kerana kerajaan Thailand memerangi kumpulan yang menuntut kemerdekaan bagi wilayah selatan yang majoritinya beragama Islam dan etnik Melayu.

Mangsa yang dilaporkan terkorban itu adalah seorang pekerja asing wanita dari Myanmar, terbunuh akibat letupan, kata pihak berkuasa Thailand.

"Pelakunya mahu mengganggu keamanan semasa Ramadan.

"Mereka menyerang ekonomi tempatan dan menyasarkan utiliti," kata Kolonel Eakvarit Chobchoophol, jurucakap Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri tentera untuk wilayah selatan.

Eakvarit berkata, pelaku menghalau pekerja keluar dari kedai serbaneka terlebih dahulu sebelum melepaskan tembakan ke udara dan membakar bangunan.

Bulan lalu kerajaan Thailand mengadakan semula rundingan damai dengan kumpulan pemberontak, bertujuan untuk mewujudkan mencapai keamanan selepas terhenti akibat pertukaran kerajaan Thailand berikutan pilihan raya umum Mei lalu.

Selatan Thailand adalah sebahagian daripada kesultanan Melayu merdeka, Patani, sebelum dilampirkan oleh Thailand pada 1909 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Britain.

Fasa konflik terbaru meletus pada 2004 dan sejak itu lebih 7,300 orang terbunuh, menurut Deep South Watch, sebuah kumpulan yang memantau keganasan. - REUTERS

Berita Harian X