Jumaat, 22 March 2024 | 6:58pm
Konfrontasi antara kapal China dan Filipina di laluan air strategik telah merenggangkan hubungan antara Manila dan Beijing. - Foto AFP
Konfrontasi antara kapal China dan Filipina di laluan air strategik telah merenggangkan hubungan antara Manila dan Beijing. - Foto AFP

Filipina tuduh China halang saintisnya di Laut China Selatan

MANILA: Pengawal Pantai Filipina hari ini menuduh sebuah kapal China melakukan "gerakan berbahaya" kerana cuba menghalang saintis Filipina dari sampai ke terumbu di Laut China Selatan.

Insiden itu berlaku semalam berhampiran terumbu Sandy Cay, beberapa kilometer dari pulau Thitu yang dikuasai Filipina di Kepulauan Spratly yang dipertikaikan.

Pertembungan antara kapal China dan Filipina, termasuk perlanggaran di laluan air strategik merenggangkan hubungan antara Manila dan Beijing, yang mempunyai sejarah panjang pertikaian wilayah maritim.

Dalam kejadian terbaharu, sebuah bot milik Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina sedang membawa saintis marin ke terumbu apabila sebuah kapal Pengawal Pantai China melintasi laluannya, menghampiri bot itu sejauh 100 meter, menurut Jurucakap pengawal Commodore, Jay Tarriela.

Tarriela berkata, kapal Pengawal Pantai China membunyikan siren selama lebih 30 minit bagi menarik perhatian bot "militia maritim China" di kawasan itu.

Bagaimanapun, semalam Pengawal Pantai China berkata terdapat 34 warga Filipina "secara haram" mendarat di terumbu yang dikenali sebagai Tiexian Jiao manakala di Filipina sebagai Pagasa Cay 2.

"Pegawai penguatkuasa undang-undang China mendarat di sana, di mana mereka menyiasat dan mengendalikan situasi berkenaan," kata jurucakap Pengawal Pantai China, Gan Yu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Tarriela berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh China itu adalah satu pembohongan dan memaklumkan pasukan saintis itu menghabiskan empat jam di dua terumbu dan dapat menyelesaikan misinya, walaupun kehadiran kapal China dan helikopter tentera China berlegar di udara. - AFP

Berita Harian X