Jumaat, 22 March 2024 | 1:07pm
Seorang pegawai polis membawa kanak-kanak pelarian Rohingya ketika mereka turun dari kapal Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS) selepas diselamatkan dari bot mereka yang terbalik di perairan kira-kira 16 batu nautika (29 kilometer) di luar pantai di sebuah pelabuhan di Meulaboh. - Foto AFP

Operasi mencari mangsa bot karam pelarian Rohingya dihentikan

MEULABOH, INDONESIA: Pasukan penyelamat Indonesia hari ini memaklumkan mereka menamatkan operasi pencarian pelarian Rohingya yang hilang di laut selepas bot mereka terbalik, walaupun terdapat laporan puluhan mangsa dihanyutkan.

"Pencarian tamat pada Khamis. Semua pelarian Rohingya di atas bot diselamatkan," kata jurucakap pegawai dari agensi mencari dan menyelamat tempatan di Aceh.

Beliau berkata pencarian telah ditamatkan kerana tiada senarai penumpang.

Kira-kira 150 pelarian dikatakan telah berada di dalam bot berkenaan dan 69 ditemui hanyut di luar Provinsi Aceh semalam dalam penyelamatan dramatik selepas mereka menghabiskan lebih daripada sehari berdiri di atas badan bot yang karam. Enam yang lain diselamatkan nelayan sehari sebelumnya.

"Tiada maklumat tambahan yang kami terima mengenai orang hilang," kata Rachman sambil menyatakan siasatan mendapati bot yang karam itu tidak boleh memuatkan 150 orang.

Setiausaha Agung komuniti nelayan Aceh Barat, Pawang Amiruddin memberitahu AFP semalam bahawa mangsa yang terselamat menganggarkan terdapat "kira-kira 150 orang di atas bot itu."

Berita Harian X