Rabu, 20 March 2024 | 6:10pm
 Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin
Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin

Duta Besar Malaysia lawat ibu negara baharu Indonesia

NUSANTARA, Kalimantan: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin meninjau tapak pembangunan ibu kota baharu nusantara (IKN) di Kalimantan Timur, di sini.

Sempena lawatan kerja tiga hari sejak Isnin, Syed Md Hasrin yang mengetuai delegasi dari kedutaan di Jakarta dan konsulat di Pontianak disambut wakil Otorita Ibu Kota Nusantara (OIKN).

Dalam lawatan itu, beliau turut ditemani Pengarah Urusan Maxim Global Bhd, Tan Sri Gan Seong Liam; Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Bhd, Lee Chun Fai dan Presiden Limkokwing University of Creative Technology,.

"Pembangunan IKN sedang rancak berjalan seperti diarahkan Presiden Joko Widodo di mana akan diadakan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada Ogos depan, dan ribuan undangan bakal datang untuk melihat sendiri perkembangan IKN," katanya kepada Bernama hari ini.

Sempena lawatan kerja itu beliau turut disertai Pegawai Perhubungan Keselamatan, Asisten Komisioner Zakaria A Rahim; Penasihat Perdagangan, Suresh Kumar; Penasihat Konsular dan Imigresen, Mohamad Nurzaini Kasi; Penasihat Buruh, Nurul Jiana Mohd Jamel dan Penasihat Kastam, Ahmad Talib.

Anggota lain delegasi ialah Setiausaha Pertama (Hal Ehwal Agama), Mohd Shamsuri Ghazali; Penolong Atase Pertahanan, Lt Kol Aznan Alias; Setiausaha Pertama (Pendidikan), Zulfadhli Hamzah dan Setiausaha Kedua (Ekonomi), Fakhrul Arifin Mohammad Zulkifly.

Syed Md Hasrin sekali lagi menggesa agar syarikat Malaysia terutama dari Sabah dan Sarawak merebut peluang pelaburan di IKN serta berkongsi pengalaman, sekaligus menyumbang kepada hubungan lebih kukuh antara kedua-dua negara khususnya sebagai negara tetangga.

Sebanyak 21 surat hasrat (LOI) daripada syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembangunan IKN telah diserahkan kepada OIKN, katanya.

Timbalan Pembiayaan dan Pelaburan OIKN, Agung Wicaksono mengalu-alukan lawatan duta besar serta beberapa syarikat Malaysia yang telah mengemukakan cadangan dan menjalankan kajian kemungkinan untuk pembangunan perumahan dan pendidikan untuk penjawat awam yang berpindah dari Jakarta ke IKN.

"Kami di OIKN sangat bangga dan gembira dengan kehadiran duta besar serta syarikat-syarikat Malaysia kerana ini boleh dikatakan kali pertama seorang duta besar datang bersama wakil-wakil syarikat bukan sahaja hanya untuk meninjau tetapi sudah berkomitmen untuk melabur," katanya.

Agung menjelaskan pelaburan syarikat Malaysia di IKN sesuai dengan amanat Presiden Joko Widodo yang projek ini dibangunkan melalui pelaburan sekaligus akan segera terwujud hasil kerjasama dua negara serumpun.

IKN akan dirasmikan pada 17 Ogos ini sebagai ibu kota baharu menggantikan Jakarta, yang telah menjadi ibu kota sejak 1945.

Perasmian itu bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-79.

- BERNAMA

Berita Harian X