Selasa, 19 March 2024 | 5:12pm
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (kiri) dan Setiausaha Hal Ehwal Luar Negara Filipina, Enrique Manalo ketika sidang media bersama di Hotel Sofitel, Manila hari ini. - Foto AFP
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (kiri) dan Setiausaha Hal Ehwal Luar Negara Filipina, Enrique Manalo ketika sidang media bersama di Hotel Sofitel, Manila hari ini. - Foto AFP

Setiausaha Negara AS sahkan Gaza kini kurang makanan, desak bantuan segera

MANILA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken hari ini mengesahkan semua penduduk Gaza mengalami 'tahap akut kekurangan makanan yang teruk' dan beliau mendesak keperluan segera untuk lebih banyak bantuan kemanusian ke wilayah itu.

"Menurut ukuran yang paling dipercayai mengenai perkara-perkara ini, 100 peratus penduduk di Gaza berada pada tahap akut kekurangan makanan yang teruk.

"Ia adalah kali pertama seluruh penduduk negara diklasifikasikan sedemikian," kata Blinken pada sidang akhbar di sini sempena lawatan rasminya ke Filipina.

Kenyataan Blinken dibuat menjelang kehadirannya ke Asia Barat iaitu keArab Saudi dan Mesir, untuk membincangkan usaha mendapatkan gencatan senjata di Gaza dan meningkatkan penghantaran bantuan.

Penilaian keselamatan makanan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam memberi amaran, separuh daripada penduduk Gaza mengalami 'malapetaka' kebuluran, dengan kelaparan dijangka melanda utara wilayah itu menjelang Mei melainkan berlakunya campur tangan segera.

Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths juga menyeru Israel membenarkan bantuan tanpa halangan ke wilayah Palestin yang terkepung, dengan mengatakan mereka sedang mengejar masa.

Agensi bantuan melaporkan kesukaran besar untuk mendapatkan akses ke Gaza, khususnya di utara Palestin dan PBB. sebelum ini sudah memberi amaran selama berminggu-minggu mengenai kebuluran yang akan berlaku.

Agensi PBB berkata, negara penyumbang sudah beralih kepada penghantaran melalui udara atau laut, tetapi tiada alternatif yang berdaya maju bagi penghantaran darat.

The Integrated Food Security Phase Classification semalam berkata, walaupun kriteria teknikal untuk kebuluran masih belum dipenuhi namun 'semua bukti menunjukkan ke arah mempercepatkan kematian besar dan kekurangan zat makanan'.

Memetik data PBB, Blinken berkata, 100 peratus penduduk di Gaza memerlukan bantuan kemanusiaan, berbanding hanya 80 peratus di Sudan dan 70 peratus di Afghanistan.

"Ia memerlukan kesegeraan, keharusan, sebagai keutamaan. Menjadi keutamaan jika kami akan menangani keperluan orang dengan berkesan," kata Blinken mengenai penghantaran bantuan.

Blinken berada di sini sebagai sebahagian daripada lawatan singkat ke Asia yang bertujuan mengukuhkan sokongan AS terhadap sekutu serantau bagi menentang China.

Ketika sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Blinken turut ditanya mengenai langkah yang diambilnya untuk menangani sekatan akses ke Gaza untuk wartawan asing.

"Terdapat pertimbangan keselamatan yang jelas dalam zon perang yang aktif dan itu perlu diambil kira. Tetapi prinsip asas akses untuk wartawan adalah sesuatu yang kami sokong," kata Blinken.

- AFP

Berita Harian X