Isnin, 18 March 2024 | 1:52pm
Umat Islam melihat kemunculan anak bulan, yang menandakan bermulanya bulan suci Ramadan. - Foto REUTERS
Umat Islam melihat kemunculan anak bulan, yang menandakan bermulanya bulan suci Ramadan. - Foto REUTERS

Perbezaan fiqah tentukan tarikh penampakan anak bulan di Indonesia

JAKARTA: Pada awal Ramadan, ribuan umat Islam membanjiri masjid Muhammadiyah di sekitar Jakarta dan bandar besar di wilayah lain untuk menunaikan solat tarawih, sehari awal dari tarikh yang ditetapkan oleh pemerintah Indonesia.

Keputusan di Indonesia itu masih lagi menjadi tanda tanya dengan penetapan tanggal 1 Ramadan 1435 Hijrah kembali membingungkan umat Islam negara itu.

Sekali lagi pada 20204, tercetus perselisihan antara ulama, pakar agama, guru agama dan habib, yang dilihat oleh orang awam bercanggah dengan semangat Ramadan.

Jika melihat 10 tahun terakhir, terdapat tiga tahun yang berbeza bagi memulakan awal puasa untuk menyambut Ramadan iaitu pada 2014, 2022 dan 2024, antara pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Muhammadiyah dan Nahdlatul Ulama (NU).

Dua pertubuhan besar itu sepakat bagi tujuh tahun dengan tarikh sambutan awal puasa serentak, setelah tidak dapat melihat anak bulan (hilal) atau formula matematik dapat meramalkan penampakan bulan secara tepat.

Tanpa perselisihan, NU, Muhammadiyah dan umat Islam Indonesia yang lain akhirnya menyambut awal Ramadan pada hari yang sama.

Perbezaan ini wujud seperti kata peneliti Kementerian Agama, Suhanah, kerana penetapan awal Ramadan dapat ditinjau daripada kaedah pengiraannya.

"Kedua kelompok ini sulit disatukan kerana mempunyai alasan fiqah masing-masing yang berbeza antara satu sama lainnya.

"Bagi masyarakat yang ada di wilayah Kota Semarang, perbezaan tersebut banyak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat awam," katanya yang dipetik Jurnal Harmoni.

Muhammadiyah, yang dipimpin Dr Haedar Nashir, menggunakan kaedah wujudul hilal (hisab hakiki) atau hisab moden, atau kaedah matematik dalam menetapkan awal Ramadan pada 11 Mac dengan perkiraan anak bulan sudah wujud di atas ufuk waktu matahari terbenam.

Sementara itu, tarikh awal puasa yang ditetapkan oleh pemerintah dan NU, seperti tahun-tahun sebelum ini, sentiasa sama.

NU dan pemerintah Indonesia menggunakan rukyah dengan cara melihat langsung keadaan bulan.

Kriteria yang digunakan dalam sistem rukyah adalah ketinggian anak bulan harus lebih dua darjah di atas ufuk dengan memantau keberadaan hilal di beberapa lokasi yang tersebar di seluruh Indonesia.

Kesemua kaedah itu mempunyai hujah, dalil dan ijtihad yang tersendiri dan digunakan oleh sebahagian besar negara Islam dalam menentukan permulaan bulan Hijrah di negara masing-masing.

Bagi mengatasi masalah perbezaan itu, pemerintah Indonesia mengadakan sidang Isbat ulama (menentukan tarikh) pada 10 Mac 2023 untuk memastikan hari pertama Ramadan berdasarkan melihat anak bulan, yang secara tradisinya menandakan permulaan bulan suci itu.

Kementerian Agama Indonesia menganjurkan mesyuarat Isbat tahunan untuk mendengar pandangan berbeza dan kemudian memutuskan tarikh yang sama, sungguhpun peserta mesyuarat tidak terikat dengan tarikh tersebut.

Akhirnya, pemerintah memutuskan bahawa tanggal 1 Ramadan 1435 Hijrah jatuh pada 12 Mac.

Keputusan itu ditetapkan kerana tidak ditemukan hilal di setiap 33 wilayah Indonesia.

Namun, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas, memang telah menjangkakan tarikh yang berbeza bagi permulaan Ramadan antara penetapan rasmi pemerintah dengan pengisytiharan oleh pertubuhan Islam yang lain.

"Kekalkan semangat persaudaraan Islam dan toleransi memandangkan potensi perbezaan mengenai hari pertama Ramadan," kata Yaqut menerusi surat pekeliling.

Surat pekelilingnya menasihatkan supaya khutbah Ramadan mengutamakan tema persaudaraan, tolak ansur beragama dan perpaduan nasional di samping mengelakkan kemasukan mesej politik.

Malah, Kementerian Agama Indonesia meminta seluruh umat Islam di negara itu supaya tidak memperdebatkan atau mempersoalkan perbezaan tarikh mula berpuasa.

Sebaliknya, mengingatkan orang ramai, khususnya umat Islam, bahawa mereka perlu menerima perbezaan itu dengan rasa hormat, tolak ansur dan bijak supaya tidak mencetuskan kekecohan yang boleh menimbulkan huru-hara dalam kalangan rakyat.

Kementerian juga meminta supaya isu tersebut tidak dijadikan polemik berpanjangan kerana perbezaan itu sering terjadi dan yakin umat Islam di Indonesia tidak akan mudah berpecah dan mengganggu keharmonian bersama.

Penduduk digalakkan mengimarahkan bulan mulia ini dengan pelbagai kegiatan positif dan baik serta menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala dan nilai ibadah puasa.

Di samping itu, penduduk yang tidak berpuasa turut diminta menghormati orang yang berpuasa dan mengekalkan tolak ansur antara masyarakat pada bulan Ramadan. - AGENSI

Berita Harian X