Khamis, 14 March 2024 | 10:09pm
(Gambar hiasan) Harimau Sumatera kini dianggap sebagai spesies sangat terancam. - FOTO AFP
(Gambar hiasan) Harimau Sumatera kini dianggap sebagai spesies sangat terancam. - FOTO AFP

Penduduk kampung maut diserang, renjer Indonesia giat buru Harimau Sumatera

JAKARTA: Renjer Indonesia bersama seorang penjinak haiwan dikerah untuk memburu Harimau Sumatera yang kini diancam kepupusan, menurut pegawai, hari ini.

Ia selepas dua penduduk kampung terbunuh dalam serangan berasingan yang mencetuskan kemarahan komuniti tempatan.

Empat mangsa diserang ketika bercucuk tanam dalam kawasan rizab sebuah taman negara di Wilayah Lampung di Kepulauan Sumatera, sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Susulan itu, pegawai berkaitan berikrar untuk menangkap haiwan terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Kami mengesyaki terdapat lebih daripada seekor harimau yang mengganggu penduduk kampung," kata renjer di Taman Negara Bukit Barisan, Sugeng Hari Kinaryo Adi.

Harimau Sumatera yang sering menjadi sasaran pemburu haram, kini dianggap sebagai spesies sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi, dengan dipercayai kurang 400 ekor haiwan itu hidup di habitat.

Harimau Sumatera juga berdepan konflik dengan manusia susulan penebangan hutan secara berleluasa telah mengurangkan kawasan habitat semula jadi haiwan berkenaan.

Mengulas lanjut, Sugeng berkata, insiden terkini dilaporkan berlaku antara akhir Februari hingga 11 Mac lalu yang menyebabkan dua mangsa berusia 28 dan 47 tahun terbunuh dipercayai akibat serangan haiwan liar itu.

Sepasukan 10 petugas meliputi penjinak haiwan, doktor haiwan dan renjer hutan telah dikerah dalam operasi memburu tetapi setakat ini, tiada petunjuk bahawa serangan berkenaan membabitkan harimau yang sama.

Doktor haiwan dikenali sebagai Dito yang turut menyertai operasi itu, memberitahu AFP bahawa pasukan berkenaan mula bergerak hari ini, termasuk membuat perangkap dan memetakan laluan yang mungkin digunakan oleh harimau terbabit.

"Kami berharap penduduk kampung dapat menjauhi kawasan yang biasa dilalui harimau, supaya tiada lagi akan menjadi mangsa," katanya.

Selepas serangan terbaru pada Isnin lalu di mana seekor harimau mencederakan seorang petani, ratusan penduduk kampung yang berang telah mengepung dan membakar ibu pejabat renjer hutan dalam taman negara itu, sekali gus menuntut renjer menangkap harimau terbabit.

"Mereka turut merosakkan beberapa kemudahan milik resort itu kerana kecewa susulan harimau terbabit masih berkeliaran," kata Sugeng. - AFP

Berita Harian X