Khamis, 14 March 2024 | 2:26pm
Prabowo Subianto (kanan) berkongsi foto beliau sedang makan malam bersama bekas isterinya, Titiek Soeharto, dan anak mereka Didit Hediprasetyo. - Foto INSTAGRAM PRABOWO SUBIANTO
Prabowo Subianto (kanan) berkongsi foto beliau sedang makan malam bersama bekas isterinya, Titiek Soeharto, dan anak mereka Didit Hediprasetyo. - Foto INSTAGRAM PRABOWO SUBIANTO

Jamuan malam Prabowo bersama bekas isteri cetus pelbagai reaksi

JAKARTA: Gambar bakal presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sedang makan bersama bekas isteri dan anaknya mencetuskan spekulasi mereka mungkin akan bersatu semula.

Beliau berkongsi gambar itu dengan 12.2 juta pengikut Instagramnya pada 12 Mac, sedang makan malam atau mungkin berbuka puasa bersama bekas isterinya, Siti Hediati Hariyadi, lebih dikenali sebagai Titiek Suharto, dan anak mereka, Didit Hediprasetyo.

Walaupun gambar itu tidak disertakan penjelasan, ia dengan pantas mencetuskan spekulasi di media sosial bahawa Prabowo mungkin akan bersatu semula dengan isterinya, yang mungkin bakal Wanita Pertama.

"Saya menjangkakan kesudahan yang menggembirakan selepas ini," komen seorang pengikut, disiarkan Jakarta Globe.

Seorang lagi menulis: "Tolong, anda berdua bersatu semula, itulah yang paling penting."

Foto itu juga menerima 1.1 juta tanda suka atau 'Like' sejurus sebelum tengah malam.

Titiek ialah anak perempuan kedua Allahyarham Suharto, presiden paling lama berkhidmat di Indonesia.

Mereka berkahwin pada 1983 tetapi perkahwinan itu berakhir selepas Allahyarham Suharto meletak jawatan berikutan protes seluruh negara terhadap pemerintahan kuku besinya pada 1998.

Walaupun Titiek menolak kemungkinan kembali semula dengan Prabowo dalam beberapa wawancara, wanita berusia 64 tahun itu secara aktif menyertai kempen Pilihan Raya Presiden, sejak Prabowo bertanding bagi jawatan presiden pada 2014.

Prabowo, yang dikalahkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada 2014 dan 2019, membuat percubaan ketiga dengan bergandingan bersama anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai pasangannya.

Berdasarkan kiraan undi tidak rasmi, pasangan Prabowo-Gibran mendahului kiraan undi Pilihan Raya Presiden 14 Februari lalu dengan jurang yang besar dan dijangka menang dengan kira-kira 58 peratus undi. - AGENSI

Berita Harian X