Khamis, 14 March 2024 | 1:51pm
Gambar dron menunjukkan kawasan perairan Beting Scarborough yang menyaksikan tuntutan bertindih China dan Filipina, yang sering menyaksikan pertembungan tegang antara pihak berkuasa kedua-dua negara. - Foto AFP
Gambar dron menunjukkan kawasan perairan Beting Scarborough yang menyaksikan tuntutan bertindih China dan Filipina, yang sering menyaksikan pertembungan tegang antara pihak berkuasa kedua-dua negara. - Foto AFP

China dikhuatiri tuntut lebih banyak kawasan di Laut China Selatan - Filipina

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, tidak menolak kemungkinan China akan menuntut lebih banyak kawasan di Laut China Selatan jika negara serantau tidak peka mengenai kegiatan negara itu di sini.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara serantau bertindak proaktif memastikan persempadanan maritim masing-masing tidak tergugat

Marcos Jr sendiri akan bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, pada 19 Mac ini untuk menangani hal kerjasama dan keselamatan, menurut pejabat pemimpin Manila itu dalam satu kenyataan, semalam.

Pertemuan itu dirancang berikutan ketegangan yang memuncak antara Filipina dan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Marcos Jr juga berikrar untuk mempertahankan tuntutan maritim Filipina selepas Presiden China, Xi Jinping, menggesa angkatan tentera menyelaraskan persiapan menghadapi konflik ketenteraan di laut.

"Jadi, saya tidak terkejut, tetapi kita perlu terus melakukan apa yang boleh untuk mempertahankan wilayah maritim kita dalam menghadapi kemungkinan percubaan yang lebih berani oleh China untuk menggabungkan beberapa wilayah kita," katanya.

Akhbar Jepun, Asahi Shimbun, juga melaporkan pemimpin dari Jepun, AS dan Filipina berada pada peringkat akhir merancang mesyuarat di Washington, bulan depan.

Pertemuan itu akan diadakan sejajar dengan sidang kemuncak yang dijadualkan pada 10 April antara Perdana Menteri, Fumio Kishida dan Presiden AS, Joe Biden, menurut beberapa sumber kerajaan.

Seperti Filipina, Jepun juga mempunyai pertikaian wilayah dengan China mengenai pulau-pulau di Laut China Selatan.

Menteri luar ketiga-tiga negara itu akan membincangkan cara untuk mengukuhkan kerjasama berikutan peningkatan perlanggaran hak kawasan di Laut China Selatan antara kapal dari Filipina dan China.

Mereka bersetuju untuk berusaha ke arah menandatangani Perjanjian Akses Timbal Balik yang akan memudahkan anggota Angkatan Pertahanan Diri Jepun dan tentera Filipina untuk terbabit dalam latihan bersama, dengan memudahkan prosedur bagi mendapatkan visa dan membawa senjata serta peluru ke negara masing-masing.

Jepun juga akan menyediakan dana untuk Filipina memperoleh sistem radar pengawasan pantai.

Keputusan pada 2016 oleh Mahkamah Tetap Timbang Tara di Den Haag, Belanda mendapati bahawa tuntutan menyeluruh China di Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang.

Namun, Beijing menolak keputusan itu dengan mendakwa kedaulatan yang tidak dapat dipertikaikan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan. - REUTERS

Berita Harian X