Khamis, 14 March 2024 | 9:26am
Umat Islam di Indonesia menunaikan solat tarawih di Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. - Foto AFP
Umat Islam di Indonesia menunaikan solat tarawih di Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. - Foto AFP

Indonesia jelaskan isu penggunaan pembesar suara di masjid sepanjang Ramadan

JAKARTA: Kementerian Ehwal Agama Indonesia menegaskan tidak pernah mengenakan sebarang larangan terhadap penggunaan pembesar suara di masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Sebaliknya, menurut kenyataan jurucakap Kementerian Ehwal Agama, Anna Hasbie, ia hanya mengeluarkan garis panduan penggunaan alat pembesar suara itu, bukannya larangan.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian mengeluarkan garis panduan penggunaan pembesar suara di masjid semasa bulan puasa, tetapi ia sekadar cadangan untuk menggalak tolak ansur dan menghormati kepelbagaian masyarakat di negara itu.

"Panduan itu bukan melarang penggunaan pembesar suara dan tidak membataskan kegiatan sepanjang Ramadan.

"Sila teruskan membaca Al-Quran dengan pembesar suara. Bagaimanapun, untuk kepentingan bersama, sila gunakan pembesar suara dalaman sahaja," katanya, yang dipetik agensi berita Antara.

Kementerian Ehwal Agama sebelum ini mengeluarkan surat pekeliling mengenai Garis Panduan Penggunaan Pembesar Suara di Masjid dan Ruang Solat.

Ia bertujuan mewujudkan keamanan, ketenteraman dan keselesaan bersama penyiaran agama dalam kalangan masyarakat majmuk daripada pelbagai kepercayaan agama dan latar belakang.

Garis panduan itu mengawal selia penggunaan pembesar suara dalaman dan luaran, termasuk penggunaan pembesar suara semasa Ramadan, solat tarawih, kuliah dan pengajian Ramadan, serta bacaan Al-Quran yang memerlukan pembesar suara dihalakan di dalam masjid.

Anna menjelaskan, garis panduan itu bukan sesuatu yang baru, malah ia sudah wujud sejak 1978.

Walaupun ia hanya cadangan, pekeliling itu mengikat beberapa pihak termasuk pejabat Kementerian Agama pada peringkat daerah dan bandar, yang digesa memberi bimbingan dan penyeliaan berkaitan dasar tersebut.

"Pekeliling ini bukan norma undang-undang. Ia tidak wajib, tetapi ia mengikat pihak yang disebut dalam surat itu," kata Anna.

Penjelasan itu diberikan sebagai maklum balas kepada syarahan tokoh agama, Gus Miftah, di Sidoarjo, Jawa Timur, baru-baru ini yang menekankan larangan menggunakan pembesar suara untuk membaca Al-Quran di masjid sepanjang Ramadan.

Gus Miftah adalah pendakwah selebriti yang berpengaruh dari Yogyakarta.

Beliau membandingkannya dengan penggunaan pembesar suara untuk rancangan dangdut atau muzik yang tidak diharamkan, walaupun berlarutan sehingga dinihari.

Tempo.Co cuba menghubungi Gus Miftah untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai perkara itu tetapi belum menerima maklum balas sejauh ini. - AGENSI

Berita Harian X