Rabu, 13 March 2024 | 8:47am
Erina Gudono (kanan) bersama suaminya, Kaesang Pangrep, yang juga anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo. - Foto AGENSI
Erina Gudono (kanan) bersama suaminya, Kaesang Pangrep, yang juga anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo. - Foto AGENSI

Parti Gerindra bakal calonkan menantu Jokowi bagi pemilihan ketua daerah

SLEMAN: Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) ingin mencalonkan Erina Gudono, menantu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam pemilihan Bupati (ketua daerah) di Sleman, wilayah Yogyakarta, lapor akhbar Inggeris Indonesia, Jakarta Globe.

Erina, 27, yang berkahwin dengan anak bongsu Jokowi, Kaesang Pangarep, pada Disember 2022, adalah anak jati Sleman.

Jika disahkan, pencalonannya akan menandakan kerjasama politik kedua antara Gerindra dengan keluarga presiden, sekali gus menimbulkan spekulasi Jokowi cuba mewujudkan dinasti politik.

Pengerusi Gerindra, Prabowo Subianto, telah pun bekerjasama dengan anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, dan pasangan itu dijangka memenangi Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada 14 Februari dengan mendapat sekitar 58 peratus undi.

Populariti Prabowo semakin melonjak sejak beliau memilih Gibran sebagai pasangannya pada pertengahan Oktober 2023 dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Ketua bahagian tempatan Gerindra, Sukaptana, berkata parti itu mengutamakan anak jati Sleman semasa tapisan kakitangan.

"Jadi, kami sedang mempertimbangkan Erina dalam usaha mencari pemimpin muda untuk diperkenalkan kepada masyarakat setempat melalui Gerindra, menjelang pilihan raya bagi memilih bupati wilayah itu," katanya.

Bagaimanapun, Sukaptana berkata beliau belum berhubung secara langsung dengan Erina mengenai rancangan itu.

Gerindra kini memegang enam kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sleman dan perlu mewujudkan gabungan dengan ahli lain untuk memenuhi ambang 10 kerusi yang diperlukan untuk menamakan calon bupati.

Suami Erina, Kaesang, memulakan kerjaya politiknya hanya pada 2023 apabila beliau menyertai Parti Solidariti Indonesia (PSI) dan tidak lama kemudian dilantik sebagai pengerusi.

Anak perempuan Jokowi, Kahiyang Ayu, berkahwin dengan ahli perniagaan, Bobby Nasution, yang kemudiannya dipilih sebagai Datuk Bandar Medan. - AGENSI

Berita Harian X