Selasa, 5 March 2024 | 9:10pm
Alain Robert, yang lebih dikenali sebagai "Spiderman Perancis", memanjat di sebelah Menara GT 47 tingkat di daerah kewangan Manila, Makati. - Foto AFP
Alain Robert, yang lebih dikenali sebagai "Spiderman Perancis", memanjat di sebelah Menara GT 47 tingkat di daerah kewangan Manila, Makati. - Foto AFP

'Spiderman' Perancis panjat menara sokong tuntutan Filipina di Laut China Selatan

MANILA: Seorang pendaki bebas yang dikenali sebagai "Spiderman" Perancis memanjat bangunan pencakar langit di Manila bagi menyokong tuntutan maritim Filipina di Laut China Selatan.

Warga Perancis, Alain Robert, yang memanjat lebih daripada 150 bangunan di seluruh dunia, termasuk Burj Kalifa Dubai dan Menara Eiffel Perancis, menarik perhatian orang ramai dan mengganggu lalu lintas di Manila.

Beliau memanjat Menara GT setinggi 47 tingkat tanpa abah-abah, namun ditangkap selepas berjaya turun dari bangunan pencakar langit itu.

Robert berkata, beliau memanjat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pertikaian maritim antara Filipina dan China di Laut China Selatan.

"Saya tahu bahawa terdapat ketegangan dan mengingatkan orang ramai bahawa laut dan pulau itu adalah milik Filipina dan bukan orang lain, itulah tujuan saya mendaki hari ini," katanya.

Robert memanjat bangunan pencakar langit yang sama pada 2019.

Dia ditangkap dan didenda 1,000 peso (AS$18/RM85.21) kerana aksinya itu.

Filipina menuduh China melakukan "gerakan berbahaya" yang membawa kepada perlanggaran antara kapal pengawal pantainya dan kapal China.

Insiden itu adalah yang terbaru dalam siri pertikaian maritim antara Filipina dan China di Laut China Selatan walaupun keputusan 2016 oleh Mahkamah Timbang Tara mendapati bahawa tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang.

Beijing bagaimanapun menolak keputusan itu. - REUTERS

Berita Harian X