Selasa, 5 March 2024 | 3:43pm
Kapal bekalan Filipina belayar dekat kapal Pengawal Pantai China semasa menghantar bekalan kepada tentera Filipina di sebuah kapal perang yang terkandas di Laut China Selatan. - Foto REUTERS
Kapal bekalan Filipina belayar dekat kapal Pengawal Pantai China semasa menghantar bekalan kepada tentera Filipina di sebuah kapal perang yang terkandas di Laut China Selatan. - Foto REUTERS

Kapal Filipina, China berlanggar di laut China Selatan

MANILA: Pengawal Pantai Filipina (PCG) berkata salah satu kapalnya rosak akibat berlanggar dengan kapal Pengawal Pantai China (CCG) semasa misi bekalan semula kepada tentera Filipina di pos terpencil di Laut China Selatan pada Selasa.

Kemalangan itu kes terbaharu di perairan sekitar Beting Thomas Kedua di Kepulauan Spratly, di mana kedua-dua negara itu membuat tuntutan maritim bertindih.

Komodor Pengawal Pantai Filipina, Jay Tarriela, dalam satu catatan di platform media sosial X berkata, pengawal pantai China dan kapal lain melakukan gerakan berbahaya.

Kapal berkenaan membuat halangan sehingga menyebabkan perlanggaran yang mengakibatkan kerosakan struktur kecil pada kapal PCG.

Kapal BRP Sindangan, bersama dengan kapal Filipina lain dikerahkan untuk menyokong penggiliran tentera dan misi bekalan semula ke Beting Thomas Kedua, di mana tentera Filipina ditempatkan di atas kapal tentera laut Filipina yang terkandas.

Pengawal pantai China berkata ia mengambil langkah kawalan terhadap pencerobohan haram kapal Filipina di perairan sekitar Terumbu Ren'ai di Kepulauan Nansha, iaitu nama yang diberi China untuk beting itu.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, mengenepikan tuntutan lain daripada sejumlah negara Asia Tenggara dan mengingkari peraturan antarabangsa yang mengisytiharkan pendiriannya tidak berasas.

Kemalangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Menteri Luar Filipina, Enrique Manalo, menggesa China untuk berhenti mengganggu negara itu dan beliau mempertahankan strategi Manila untuk menghebahkan gerakan China di Laut China Selatan.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr juga tidak berselindung apabila beliau muncul lewat petang Isnin dalam acara yang dianjurkan oleh badan pemikir Australia.

"Kami tidak akan sekali-kali menyerahkan walaupun seinci persegi wilayah kami dan bidang kuasa maritim kami," katanya di luar sidang kemuncak ASEAN di Melbourne.

Pelanggaran itu adalah kejadian kedua seumpamanya sejak Disember, apabila kapal China menembak meriam air ke arah bot Filipina.

Konfrontasi itu adalah yang paling sengit antara kapal Filipina dan China dalam beberapa tahun, kata penganalisis pada masa itu, meramalkan akan ada peningkatan dalam ketegangan.

Hubungan antara Manila dan Beijing semakin renggang di bawah pemerintahan Marcos Jr, yang sebaliknya berusaha memperbaiki hubungan dengan sekutu tradisional Washington dan meningkatkan kerjasama pertahanan serantau.

Washington turut mengecam tindakan China di Laut China Selatan.

Tindakan Marcos Jr berbeza dengan pendekatan bekas presiden, Rodrigo Duterte, yang mengetepikan pertikaian maritim dengan Beijing sebagai pertukaran untuk pelaburan dari China. - AFP

Berita Harian X